Tuesday 19 December 2017

~ So Sweet Masyitah -part III~

“Dijemput pasangan suami isteri Dr Ali Zahidi dan Dr Maryam Umairah!”

Sepasang suami isteri berjalan beriringan sebaik sahaja pengerusi majlis melaung nama. Tepukan kedengaran memenuhi dewan.

“Kini dijemput pula, Hariz Arifi, motivator kita.”

Hariz Arifi bangun dari kerusi yang telah dikhaskannya di barisan hadapan.

“Maaf ya awak. Saya malu nak ke hadapan.” Masyitah menarik hujung kot Hariz..Hariz menarik senyuman. Menggeleng.

“Awak ada ini pun sudah cukup.” Tangannya menyentuh pipi Masyitah.Langkah diatur menaiki pentas. Ada empat kerusi untuk ahli panel sebenarnya. Majlis ini adalah perkongsian dua pasangan suami isteri. Tetapi satu kerusi kosong. Itu sebenarnya tempat buat Masyitah.

“Maaf, bidadari saya sangat pemalu. Jadi saya kira saya seorang sahaja di atas ini.” Hariz membuat gaya ‘peace’.

“Lagipun, saya takut ter’overshadow‘ pasangan Abang Ali Zahidi dan Kak Maryam Umairah saya ini.” Matanya memandang pasangan suami isteri di sebelahnya, sambil tangan menyapa lengan Dr Ali Zahidi. Seniornya ketika di sekolah dahulu.

Ucapannya disambut tawa dewan. Dr Ali Zahidi menyambut gurauan itu dengan senyuman. Begitu juga Dr Maryam isterinya.

Forum Baitul Muslim yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa anjuran NGO bernama HALUAN itu bermula.
********************************************************

“Macam mana?” Soalan dikeluarkan.

“Macam mana apa?” Hariz memandang Dr Ali Zahidi.

“Macam mana hidup dengan Masyitah?” Dr Ali Zahidi menunjuk kepada meja perempuan.

Kelihatan isterinya, Dr Maryam sedang makan bersama dengan Masyitah.

“Amat amat amat bahagia.” Senyuman Hariz melebar.

Dr Ali Zahidi mengangguk sambil mata garfu dibenamkan pada daging sebelum sudu di tangan kiri membuatkan daging itu menjadi lebih kecil.

“Sebenarnya, ana tak sangka enta pilih dia.” Dr Ali Zahidi bersuara selepas menelan makanannya. Matanya memandang tepat Hariz...Hariz yang baru sahaja hendak menyuap makanannya tidak jadi berbuat demikian. Senyumannya yang tadi melebar, menjadi kendur.

“Kenapa Abang Ali cakap begitu?”

“Yalah. Dalam organisasi kita ini, ramai lagi akhawat yang berkaliber. Yang boleh bersama-sama dengan enta dalam melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah ini. Yang boleh ke hadapan dengan enta.”

Hariz diam.

“Memilih yang telah siap diproses, lebih mudah. Maka kita boleh buat banyak kerja lagi. Boleh bergerak lebih jauh lagi.”

“Teorinya, itu memang benar.”

“Jadi? Kenapa dulu enta pilih dia?”

“Sebab dari segi praktikalnya, teori itu tidak berjalan buat saya.”

“Em?” Dr Ali Zahidi tidak dapat menangkap maksud Hariz.

“Abang Ali, Rasulullah SAW pesan untuk kita mencari wanita yang baik agamanya.”

“Ya.”

“Masyitah dari segi asas agama, dia jelas.”

“Ok.”

“Jadi saya tidak perlukan sebab tambahan. Hal ini kerana, Allah bagi saya jatuh cinta kepada dia. Saya tidak perlukan apa-apa sebab lain selain perasaan ini. Saya tidak berkahwin dengan dia kerana apa-apa. Saya berkahwin dengan dia kerana dia. Kerana dia itu Tiara Masyitah. Bukan kerana dia itu Masyitah seperti Masyitah di zaman Musa.”

“Yalah. Tetapi bukankah lebih bagus enta pilih yang seperti Masyitah di zaman Musa? Yang berani ke hadapan menegakkan kebenaran. Ini hendak berkongsi pun tidak mahu. Apa manfaatnya kepada masyarakat? Berkahwin dengan orang macam dia, enta nak selalu tinggalkan rumah pun tidak boleh.”

Hariz menghela nafas.
“Abang Ali. Apa pandangan Abang Ali terhadap saya. Apakah saya ini bermanfaat kepada masyarakat?”

Dr Ali Irfan mengangguk. “Sebab itu ana cakap perkara ini. Orang macam enta, rugi jika bersama dengan orang seperti Masyitah. Enta masih muda, sebab itu ana berbicara akan hal ini. Ana berpesan kepada enta sebagaimana pesan Ibrahim kepada Ismail. Tukarlah.”

Hariz tersengih.
“Tahukah Abang Ali bahawa, saya menjadi bermanfaat sebagaimana yang Abang Ali nyatakan itu hari ini, dengan kehadiran siapa?”

Dr Ali Zahidi diam.

“Dia.” Hariz menunjuk kepada Masyitah yang khusyuk bersama Dr Maryam.

“Kita kenal semenjak sekolah menengah Abang Ali. Abang Ali tahu saya ini macam mana dahulu. Walaupun saya aktif dalam dakwah dan tarbiyah di sekolah, saya panas baran, tidak sabar, keras kepala dan sebagainya. Saya juga lemas dalam kekayaan keluarga saya.”

Dr Ali Zahidi mengangguk. Dia ingat semua itu. Dan Hariz Arifi di hadapannya kini adalah seorang manusia yang jauh berbeza.

“Bila Allah lekatkan cinta di dalam hati saya kepada Masyitah, saya jumpa satu perkara.”

“Apa dia?”

“Kesederhanaan. Dia memang bukan Masyitah di zaman Musa, Abang Ali. Tetapi dia datang dari kesederhanaan. Keluarganya sederhana. Dia dibesarkan dalam kesederhanaan. Kesederhanaan itulah yang membuatkan saya yakin dengan cinta yang Allah berikan kepada saya. Kesederhaan itulah yang membuatkan saya kembali melihat diri saya, kehidupan saya, pergerakan saya, kerja-kerja dakwah dan tarbiyah saya.”

Dr Ali Zahidi tidak berkata apa-apa.

“Orang semua menyatakan bahawa perubahan saya adalah kerana saya berusaha sendiri. Dari satu sisi, mungkin benar. Tetapi sebenarnya, saya bergerak untuk berubah itu adalah apabila saya bertemu dengan kesederhanaan yang ada pada Masyitah dan keluarganya. Akhirnya jadilah saya sebagai saya yang hari ini. Jika Abang Ali menyatakan bahawa saya hari ini adalah seorang yang bermanfaat kepada ummah, maka tidakkah yang membentuk saya juga telah memberikan manfaat? “

“Ana hanya hendak enta pergi lebih jauh. Pada ana, enta boleh pergi lebih jauh lagi. Tengok ana hari ini. Ke hulu ke hilir memberikan penyampaian. Apabila ada isteri seperti Maryam yang mampu berdiri bersama-sama aku, kerja menjadi lebih mudah. Kini satu Malaysia sudah mengenali ana. Brunei, Indonesia dan Singapura juga sudah mula hendak memanggil ana.”

Hariz menggeleng. Senyumannya mekar hingga ke telinga.

“Jika itu hendak diukur sebagai kejayaan, dan sampai ke tahap itu yang Kak Maryam boleh bantu Abang Ali, pada saya, saya lebih dari itu.”

Mata Dr Ali Zahidi membesar.

“Kini, buku-buku dan novel-novel saya sudah mula hendak diterjemahkan ke pelbagai bahasa di seluruh dunia. Produser-produser filem turut menghubungi saya untuk memfilemkan beberapa novel saya. Syarikat Motivasi saya juga sudah mula berkembang keluar dari Asia Tenggara. Terdapat juga sambutan hangat dari Eropah. Kini Masters saya sudah hampir tamat, maka saya kira lepas ini bolehlah saya fokuskan sebentar kepada perjalanan kerja-kerja ini agar lebih kukuh sebelum saya menyambung ke PhD.”

Dr Ali Zahidi kelu.

“Abang Ali, Masyitah sendiri tidak perasan bagaimana hakikatnya dia telah membantu saya bergerak sejauh ini. Kehadiran Masyitah adalah anugerah Allah yang terbesar buat saya. Dia menghilangkan penat saya, mengubati gundah saya, menambah semangat saya, dan buat saya sentiasa kembali mengingati amanah yang Allah berikan kepada saya. Sebab saya cintakan Masyitah. Saya mahu masuk syurga dengan dia. Maka saya bersungguh-sungguh di atas dunia ini kerana itu. Biar saya boleh bawa dia masuk syurga.”

Dr Ali Zahidi akhirnya menggeleng.
“Ana tiada bicara untuk enta lagi. Maafkan ana kalau sudah mengganggu jiwa enta. Ana tersilap perhitungan.”

“Abang Ali, sebagaimana Kak Maryam itu bukannya Maryam ibu kepada Isa, begitulah juga dengan Masyitah saya. Sememangnya dia bukan Masyitah di Zaman Musa. Tetapi mereka masing-masing ada kelebihan. Kak Maryam dengan kelebihannya, mampu menonjol dan aktif dalam dakwah dan tarbiyah bersama Abang Ali. Masyitah pula, kelebihannya adalah memberikan kehidupan kepada saya.”

Dr Ali Zahidi mengangguk sambil tersengih.

“Sepatutnya, baitul muslim tadi enta seorang sudah lebih dari memadai. Ana malu dengan enta.”

“Tidak. Kita tetap kena bersama-sama. Siapalah saya jika dahulu Abang Ali tidak mendidik saya.” Hariz merendah diri. Kini matanya perlahan-lahan digalihkan kepada Masyitah.
Nampaknya isterinya itu sudah selesai makan.

“Dia memang bukan Masyitah di zaman Musa. Saya hidup di dalam realiti, sebab itu saya mampu menerimanya.”

Dr Ali Zahidi hanya mampu mengangguk lagi.Benar. Realiti.
Rata-rata hari ini orang terbiasa dengan kesempurnaan fantasi. Mencari hanya yang sempurna. Kemudian kecewa apabila melihat kecacatan selepas perkahwinan.Tetapi nampaknya Hariz Arifi berbeza.Dia membesar-besarkan segala kelebihan yang ada pada isterinya, walaupun hakikatnya kelebihan itu sebesar kuman cuma. Yang mungkin di mata orang lain, tiada apa maknanya..menyebabkan orang sepertinya jadi malu sendiri, berbicara dengan Hariz Arifi.

No comments:

Post a Comment