Tuesday 19 December 2017

~ So Sweet Masyitah -part II~

“Kahwin dengan Hariz Arifi?” Matanya membesar. Terkejut.
“Em, dia berhajat kepada Masyitah. Apa pandangan Masyitah?” Ibu bertanya lembut.
“Eh, tak naklah!” Segera dia menjawab.
“Kenapa?”
“Er…” Macam mana hendak menjawab soalan ‘kenapa’ ini ya? Sepatutnya pertanyaan itu dilontarkan kepada Hariz Arifi. ‘Kenapa’ dalam banyak-banyak perempuan di dunia ini, dia yang menjadi pilihan hati?

“Syitah tak sedia la Ibu. Syitah muda lagi. Baru habis SPM. Lagipun…” Ibarat bertih jagung, pantas dia memberikan alasan. Hatinya macam dihimpit-himpit dengan tekanan yang amat berat.
“Lagipun?”
“Dia Hariz Arifi. Ibu bukan tidak kenal siapa Hariz Arifi.”

Ya. Hariz Arifi. Beberapa tahun lebih tua daripadanya. Masyitah kenal akan dia. Merupakan senior di sekolah lamanya. Tetapi kini, bukan sedikit orang yang mengenali nama itu. Umur masih muda tetapi pemikirannya kadangkala menakjubkan veteran-veteran di dalam kehidupan. Gerak langkah pemuda itu pantas. Kerja pemuda itu adalah memperbaiki dirinya sambil mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Semua itu dilakukan semasa belajar di luar negara. Hari ini nama itu semakin meningkat naik di Malaysia. Hampir semua kawan-kawan Masyitah mengenalinya. Begitu juga dengan jiran-jirannya.

Kahwin dengan orang macam itu?Mampukah aku?Diri banyak perkara masih belum diperbaiki. Masih rasa terlalu muda untuk segala tanggungjawab. Masih rasa ingin berseronok itu dan ini.

Kahwin? Umur baru 18!Serabut kepala memikirkannya.Kenapa tak pilih mana-mana pembawa usrah di sekolah mereka dahulu yang kini masih aktif di universiti masing-masing?Kenapa dia?

“Ibu, tolaklah ya?”
Ibu menghela nafas. “Baiklah Masyitah. Ibu ikut sahaja apa yang Masyitah senangi. Tetapi Ibu sukalah dengan Hariz tu.”

Masyitah diam. Masalahnya, aku tak mampu. Muda lagi. Itu satu hal. Hal yang lebih besar lagi, adalah aku ini tak sama macam Hariz itu. Aku tidak sebaik Masyitah penyisir rambut anak Firaun!
Pap!

Lamunan kenangan yang terimbas itu pecah begitu sahaja. Kedua belah telapak tangan Hariz yang bersatu di hadapannya. Terus ditolak lelaki itu. “Awak!”
“Termenung apalah tu sampai saya datang pun tak perasan. Teringat saya ya?”
“Tekan lif naik sendirilah.” Masyitah memuncung. Matanya kembali kepada nota-nota di atas meja jepun. Sempat bola matanya menyapa buku-buku yang berselerak dan komputer riba yang hidup di tempat yang sama. Penuh meja jepun itu dengan barang-barang studinya.

Hariz menarik garisan manis pada bibir. Tubuhnya dirapatkan dengan tubuh Masyitah.
“Ini kenapa ni? Encik Hariz Arifi, Tiara Masyitah mahu studi ni. Minggu depan saya final exam.”
“Garangnya.” Pipi Masyitah ditarik lembut.
“Ish!” Tangan itu ditepis. Hariz ketawa.
“Awak, dari kacau saya, baik awak buat tesis awak tu. Kata nak habis Masters sama-sama dengan saya graduasi.”
“Tesis saya sudah hampir siap. Itu sebab saya kacau isteri yang ter’chenta’ ini.”
“Jahat!” Pantas sebelah tangan Masyitah mencari pinggang Hariz. Hariz mengelak dengan segera. Akhirnya mereka berdua ketawa. Masyitah sampai menggeleng.

“Tadi terfikir apa? Saya keluar dapur, masuk dapur, keluar dapur semula awak masih termenung lagi. Susah sangat studi sampai terfikir nak melancong ke Zargus ke?”
“Ada pula macam itu. Ingat orang studi sampai sewel?” Masyitah sengih.
“Manalah tahu.”
“Teringat masa awak propose saya pada Ibu.”
“Oho.”
Suasana jadi sepi sebentar. Bunyi desiran kipas mengisi ruang.
“Akhirnya kahwin juga kita ya?” Hariz menatap Masyitah.
Masyitah mengangguk perlahan. Perkahwinan mereka baru berusia setahun setengah. Hariz Arifi sudah hampir menamatkan mastersnya, manakala Masyitah pula sudah hampir menyelesaikan ijazahnya.

“Menyesal tak?” Tiba-tiba Masyitah melontarkan soalan, mengundang angkatan kedua-dua kening Hariz Arifi.
“Menyesal?”
“Kahwin dengan saya?”
Hariz Arifi tersengih. Kemudian menggeleng. “Tak pernah menyesal.”
“Betul? Kahwin dengan orang tak pandai masak, tak solehah, tak menonjol dalam dakwah dan tarbiyah,” Masyitah mengangkat satu persatu jarinya seakan membilang. Hariz setia mendengar.
“Tak hafal Al-Quran banyak, tajwid pun tak hebat, asyik kena kejut Subuh hari-hari, ibadah sunat kurang, Tak lovely, asyik studi sahaja, Tak pandai layan awak, tak…”

Dan bicara Masyitah terhenti di situ. Jari telunjuk Hariz Arifi sudah melekat pada bibirnya. Mata mereka bertemu.
“Saya tak perlukan semua itu. Bukankah saya sudah kata sebelum kahwin, yang saya mahu daripada awak hanyalah awak berada di sisi saya sahaja. Saya tidak minta lebih daripada itu.” Jari telunjuk itu diturunkan. Kedua belah tangan kini mencari tangan Masyitah. Memegang erat tangan lembut itu.
“Untuk saya, cukup sekadar awak bernafas di sisi saya. Biar saya yang masak, biar saya yang kemas rumah, biar saya yang baca Al-Quran untuk awak, biar saya yang hari-hari kejut awak Subuh, biar saya yang lovely, biar saya yang caring, biar saya yang asyik layan awak. Biar saya semua.” Hariz Arifi menyempurnakan bicara.

“Saya bukan Masyitah di zaman Musa. Setahun setengah ini, banyak saya sudah susahkan awak. Lebih-lebih lagi hal dakwah dan tarbiyah. Sahabat-sahabat lain yang macam awak, isteri mereka semua hebat-hebat. Semua ke hadapan sama-sama. Saya…” Masyitah menunduk.
“Mana ada awak tak bantu dalam dakwah dan tarbiyah?”
“Eh? Ada saya bantu?” Masyitah berfikir. Ada bagi ceramah? Tak ada. Ada bagi idea? Pun tak ada. Ikut program sebagai orang biasa sahaja adalah. Menjadi penggerak, pemikir, tak pernahlah pula.
“Ada. Bila awak ada di sisi saya, saya jadi kuat. Bila saya jadi kuat, saya lebih bersemangat dalam melaksanakan dakwah dan tarbiyah. Bila saya bersemangat melaksanakan dakwah dan tarbiyah, kerja-kerja dakwah dan tarbiyah berjalan lebih lancar. Bila kerja-kerja dakwah dan tarbiyah berjalan lebih lancar, insyaAllah ramai orang akan mendapat manfaat.”
Masyitah terpana. Garis manis pada bibir Hariz tidak pudar. Tangan Hariz semakin erat memegang tangan Masyitah.
“Bukankah awak telah membantu? Tak puas hati lagi?” Hariz merapatkan dahinya ke dahi Masyitah. Wajah Masyitah kemerahan.
“Tapi…”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Eh, kenapa la awak fikir benda ini hari ini? Sudahlah. Minggu depan hendak final exam. Nanti serabut kepala otak. Mari makan. Saya sudah siap hidang di dapur tu. Hari ini saya masak special. Sotong masak sambal kegemaran awak.” Hariz bangun.
Masyitah diam. Tidak mampu berkata apa-apa.
“Lah. Bangun pun nak saya tolong? Romantiknya.” Hariz menghulurkan tangan apabila Masyitah tidak bangun-bangun.

Masyitah mencebik. “Senget.” Masyitah menyambut tangan Hariz, dan suaminya itu membantu dirinya bangun. Mereka berjalan beriringan ke dapur.
Hariz ketawa. Di dalam hatinya dia bahagia. Bahagia apabila bidadari jiwanya bahagia. Tiada apa yang lebih mendukakannya melainkan kedukaan bidadari jiwanya ini.
Entah mengapa Allah memberikan perasaan ini kepadanya.
Kepada seorang Tiara Masyitah.

No comments:

Post a Comment