Wednesday 1 April 2015

~ BERAT HATI ~

















berat hati melangkah
kerana indahnya mengaburi mata
berat kaki mengorak langkah
kerna manisnya menguasai rasa

bila mata hati jadi buta
yang dilihatnya syurga semata
tapi sebenarnya timbunan noda
 
andai taubat tidak didamba
hati yang lemah terus leka
di tapak hati, bertindih noda segala
makin menebal bila bertambahnya masa

namun, bila mata hati terbuka
segala yang indah, palsu belaka
jangan terlambat biar sedetik masa
Kerana maut tak sabar membaham nyawa

dan yang terindah sebenarnya,
adalah hijrah keranaNya
ringankanlah hati,
gapailah keindahannya
~

Monday 23 March 2015

~ MAHAR CINTA BUAT SIDIA ~




















Andainya dapat engkau mendengarkan,
Suara di hatiku melagukan rindu..
Kiranya engkau mampu mentafsirkan,
Setiap bait kata-kata yang terucap..
Pasti dirimu kan memahami,
Harapan kasih yang terbina..
Sekian lama disudut hatiku,
Hanyalah untukmu..

Bukanlah aku sengaja,
Melindungi rasa di jiwa..
Namun bimbang diri kan terleka,
Hanyut dibuai angan dan mimpi indah..
Hingga terabai segala cita,
Sedang khayalan tak menjanjikan..
Segunung kebahagiaan,
Sebagai mahar hantaran..

Apakah mungkin engkau mengerti,
Setiap cinta yang dilafazkan..
Bukanlah sekadar mainan,
Tetapi sebuah janji..

Andainya dapat engkau mendengarkan,
Suara dihatiku melagukan rindu..
Kiranya engkau bisa mentafsirkan,
Setiap bait kata-kata yang terungkap..
Pasti dirimu dapat melihat,
Rahsia kasih yang terpendam..

Sekian lama di sudut hatiku,
Hanyalah untukmu Selamanya..

Sunday 22 March 2015

~ INILAH MAKNA BAHAGIA…~










Bahagia itu fitrah tabie manusia. Semua orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.

• Bahagia itu relatif?

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.


Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.

Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

• Sumber dalaman atau luaran?

Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?

Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.

Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?

• Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.

Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:

“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.


Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.

John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.

• Bukti hilangnya bahagia.

Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang …

Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.

• Ujian hidup punca hilang bahagia?

Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

• Metafora air limau dan luka di tangan

Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.

• Inilah erti bahagia

Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:

“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.


Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:

” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)


Rasulullah S.A.W bersabda lagi:

” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “

Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.

KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL QURAN DAN AS SUNAH:


1. Beriman dan beramal salih.

“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)

Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.

2. Banyak mengingat Allah .

Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:

“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d: 28)


3. Bersandar kepada Allah.

Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:

“Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq: 3)

4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.

Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:

“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa: 114)


5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.

Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah SAW bersabda:

“Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)


6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.

Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:

“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)


7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.

Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata,

“sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”. Firman Allah:

“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan: 9)


ZIKRULLAH YANG MEMBAWA BAHAGIA


Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Zikrullah akan memberi ketenangan buat hati. Ketenangan hati itulah kebahagiaan sebenar. Tetapi kenapa ada orang yang berzikir tetapi hati tidak ataupun belum tenang?

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.

Ingatlah, untuk menjaga kebersihan hati, (selain berzikir) kita perlu menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.  Jadi berhati-hatilah menjaga hati kerana ia adalah punca ketenangan dan kebahagiaan diri!

Kita harus melatih hati kita supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.

Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyak doa agar Allah SWT mengurniakan kita hati yang bersih dan selalu dekat dengan-Nya. Itulah beberapa hal yang mungkin dapat kita jadikan landasan untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga sebagai bekal untuk menghadapi kehidupan akhirat nanti.

Sebenarnya kebahagiaan hidup yang hakiki dan ketenangan hanya didapatkan dalam agama Islam yang mulia ini. Sehingga yang dapat hidup bahagia dalam erti yang sebenarnya hanyalah orang-orang yang berpegang teguh dengan teguh pada agama

- Pahro Mohd Juoi -

Friday 20 March 2015

~ KENALILAH TUHAN YANG MENGUJI MU ~



















Apabila diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan… terdetiklah rasa, “apakah Tuhan sayangkan aku? Kenapa aku diuji sebegini berat sekali? ” Subhanallah, saya terasa ingin menjawab rasa hati ini dengan sebuah tulisan yang panjang. Terasa benar-benar terpanggil. Tetapi kerana banyak cabaran dan hambatan, saya mulakan dengan tulisan yang secebis ini… Saya punya rasa malu, bimbang, dan tidak puas jika bersandar kepada akal dan susunan ayat untuk membujuk hati… namun, marilah sandarkan segala harapan dan kekuatan kepada Allah. Yang secebis ini jika diberkati lebih baik daripada selaut yang tidak diredhai. Terimalah tuisan ini sekadarnya KENALI TUHAN YANG MENGUJI MU! Apabila ujian kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan datang bertimpa-timpa,  terdetik juga kata di dalam hati, “apakah Tuhan masih sayangkan aku? Kenapa aku diuji seberat dan sekerap begini? ”

Subhanallah, tanpa disedari seolah-olah kita sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanyalah hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya akan disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa. Paling malang, manusia kerap terlupa bahawa dirinya hamba. Terutamanya ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita agar mengucapkan kalimah ‘istirja’ setiap kali diuji… Innalillah wa inna ilahihi rajiun, yang ertinya, “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.” Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita ini milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sekali-kali menolak apalagi ‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba…  Namun untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang memberi ujian itu. Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang dan belas ihsan Allah yang Maha hebat. Sebagai hamba ilmu kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut, kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya. Bila sudah cinta, kuranglah derita diuji.

Bukankah cinta itu buta? Orang yang mengenal kasih-sayang Allah punya keyakinan  bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, tidak akan memberi sesuatu yang buruk untuk hamba-Nya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik. Yakinlah bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah kita tersedar, ya Allah mujur Kau takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah), “sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila DIA menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati.” Diantara hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu.  Sebab ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lail-lain. Lalu apabila diuji,  nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin segera terlepas daripada ujian itu. Jadi, apabila nafsu terdesak, hati akan dan akal terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan.

Ujian itu sesugguhnya akan melemahkankan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa – mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat. Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana Qada dan Qadar-Nya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru, Allah berfirman:

“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216). 

Dengan ujian juga, Allah ‘membersihkan’ kotoran hati manusia. Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.” Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang yang benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa?  Sebaliknya, apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah. Kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga berusaha untuk mendapatkan hikmahnya. Rasulullah SAW bersabda,

“barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” 

Jadi, bila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.Tapi bagi anti diuji,  tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujian-Nya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba Allah kepada Allah. (Oh… Allah ingat lagi padaku).

Oleh itu, tiada jalan keluar melainkan lakukanlah tiga langkah ini apabila kita diuji:

I) Kuatkan iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada Allah. Apabila Rasulullah SAW ditimpa masalah, baginda akan terus bangun mendirikan solat dua rakaat. Baginda tidak melihat masalah yang besar tetapi cepat-cepat merujuk kepada Pemberinya – Allah Maha Besar. Masalah kita mungkin besar tetapi Allah yang memberinya jauh lebih besar. Justeru, segeralah ‘mencari’ Allah sebelum mencari yang lain-lain apabila ditimpa ujian. 

II) Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran. Yang penting apa yang berlaku ‘di dalam hati’ kita, bukan apa yang berlaku diluar diri kita. Allah berikan yang pahit, jadikan ubat. Allah berikan yang pedih, anggaplah itu pembedahan jiwa untuk mengeluarkan penyakit-penyakit hati kita. Ya, jika limau yang kita dapat masam… buatlah air limau, kata orang yang bijaksana. 

III) Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Bila baik sangka kepada Allah, maka kita akan bertambah hampir kepada-Nya. Apabila hampir kepadanya… insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah DIA Tuhan yang Maha Baik? Ya, Allah timpakan ujian yang besar, untuk ‘membesarkan’ kita. Ingat itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata…Pemimpin yang besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk ‘membesarkan’ lagi pengaruh kepimpinannya. Dan setiap kita adalah pemimpin… sekurang-kurang pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji! Justeru apabila diuji jangan katakan, “apakah aku tersisih?” Sebaliknya, katakan, “aku sudah terpilih!” 

Petikan dari blog Pahrol Mohd Juoi - Penulis buku Di mana DIA Di Hatiku? http://genta-rasa.com/2012/09/25/kenalilah-tuhan-yang-menguji-mu/#more-2284 Copy and WIN : http://ow.ly/KfYkt

Sunday 8 March 2015

~ DI KEJAUHAN INI ~

























Sayang… di kejauhan ini

Ku sentuh hatimu dengan rasaku
Debarnya debar cinta
Denyutnya denyut setia

Ku usap air matamu yang jernih
Dengannya ku sulamrasa kasih
Kutatap matamu yang duka
Di situ kutemui makna rela

Sayang.. dikejauhan ini

Ku sapa salam setiamu
Ku sambut  senyum mesramu
Onak, duri dan jeriji besi ini
Tak kan menghalang bicara
rasa kita berdua

Sayang, sayang, sayang,
Semakin terpisah…
cinta kita  semakin indah
Semakin jauh…
kasih kita semakin kukuh

Kita boleh hilang segalanya
Namun kita tidak mampu kehilangan cinta!

~ DOA KITA BERDUA ~

























Ya Allah,
Kekadang terasa belaian cintaMu
Bersama kurnia sekalung hidayah
Tapi kekadang terasa bahang murkaMu
Seiring patahnya sebuah mujahadah
kami berdua…

Ya Allah,
Walau apa pun kami masih terus di sini …
Mengemis di tepian janjiMu yang pasti
Di sini kami masih mendamba cinta
Kerna yakin cintaMu tak pernah sirna…
selama-lamanya!
buat kami berdua

KAU dekat terlalu
tanpa senyum
tanpa suara
namun cintaMU ketara jua!
Dalam doa…
kami berdua!

Thursday 26 February 2015

~ TERIMALAH TAUBATKU..~













kepala tertunduk lesu
jiwa bergetar luluh pilu
air mata tak mampu terbendung
kala kusebut asmaMu yang agung

Ya Allah
mengapa baru teringat
setelah semua terlanjur
mengapa baru tersedar
setelah semua hancur

terlalu jauh langkahkan kaki
pijak kenikmatan semua duniawi
tersenyum bangga
kerana masih diatas segalanya
tak pernah tersedar
semua hanya sementara

Ya Allah
terangi jiwa yang dalam kegelapan
pimpim tangan-tangan rapuh ini
agar tak terulang
jatuh kelubang kenistaan
terima insafku
sebelum nafas diujung waktu


~ CINTA DALAM SUJUD KU ~



















Tak terhina dahi ini
menyentuh titik terendah bumiMu
tak terucap rasa ini
aku benar-benar memerlukanMu

Dalam fajar siddiq ...
di tengah matahari terbit
di saat sang suria paling terik
di tengah senja mulai berbisik
di dalam buaian langit berwana lurik
di waktu bulan menjadi raja cahaya berbintik
dan di waktu alam hening, tak ingin terusik

Subhana robbiyal a'la wa bi hamdih ...
MemujiMu, menundukkan sombongku
Subhana robbiyal a'la wa bi hamdih ...
Mengakui keagunganMu, menyedari kelemahanku

Dalam sujudku ...
kuaturkan hati yang mudah goyah ini
kusungkurkan tubuh yang ingin berterimakasih
kuluangkan fikiran, hanya mengingatMu dalam diri
kuungkapkan cinta yang jauh dari sempurna ini

Dalam sujudku ...
Engkau belai aku dengan ijabah dan hikmahMu
Engkau lebih dekat dari urat nadiku
Engkau tambah nikmatMu dengan sihatku
Engkau sambut aku sebagai hambaMu
Engkau jernihkan fikiranku ...,
Engkau bersihkan kerak dalam hatiku ...,
jihad, ijtihad, mujahadah ... memupuk cintaku

wa maa lana Robbana,siwaka yaa hasbana ...
dalam sujudku ...
Engkau membuatku semakin rindu

Aku ingin bersepi-sepi
kerana pada tiap-tiap sepi
kutemukan diriMU
lebih lama dari biasanya.



~ TERSENYUM SENDIRI...~
















Ku rasa ada kekosongan hati.
Ku tahu ada sepi.
Ku ingin mencurah kasih ini.
Biar mengalir tanpa henti.

Entah bila saat ketika
Menanti dia kunjung tiba.
Tempatku mengadu berkongsi kisah
Melenyap resah dan gundah.

Dia yang buatku tersenyum
Layu bunga kembali menguntum.
Dia yang buatku tersenyum
Sayang dan rindu bercantum.

Aku mencari cinta yang satu
Penawar lara kalbu.
Siapakah wajah yang mengusik?
Siapakah dia yang hadir?
Tanpa isyarat mengetuk hati.

Buat aku tersenyum sendiri

~ YAKINLAH.....Tak terlihat bukan tak teringat...~



















Meski tak terlihat
yakinlah ...
aku merindukanmu
senantiasa tertaut dalam doa-doaku
penyemangat dalam ikhtiarku
sebahagian dari sempurna agamaku
penenang hatiku yang terkadang lusuh

Meski tak terucap
yakinlah ...
aku mencintaimu
Menjaga amanah Tuhanku
Mengenalkanmu pada Tuhan dan RasulMu
Membimbing dan meneguhkanmu

Meski tak tertulis
yakinlah ...
aku memilihmu
menjadi sebahagian dari ibadahku
menjadi tanggungjawabku kepada Rabbku
ku perjuangkan dalam tiap titis keringatku

Meski tak terukir
yakinlah ...
cinta ini kan abadi
Cinta yang terikat oleh janji suci
Cinta yang dinaungi Redha Ilahi

~KU TULIS PUISI LAGI ~


















Ku Tuliskan Puisi Lagi....
Dari tempat ku menulis puisi
Ada kenangan yang masih sekelibat bayang
Seperti dekat namun ingin pergi

Dari tempat ku menulis puisi
Ada jarum jam seolah mentertawakan
Lalu menegur sambil menanyakan
'Dimana -cinta selamanya- yang dijanjikan?'

Dari tempat ku menulis puisi
Fotomu di dinding kamarku masih menghiasi
Kau menasihatiku penuh erti

Dari tempat ku menulis puisi
Ku lihat kenangan bertulis 'Aku Sayang Kamu'
Ku disimpan sebagai teman sepi
Ku ingat kau berkata
'Kau tidak sendiri'

Dari tempat ku menulis puisi
Aku masih mengingati mu
Berharap kita masih seperti dulu
Berharap kau berkata
'Akan ku usahakan semuanya untukmu'

Tapi ku tahu
Cinta adalah melepaskan apapun yang melekat padamu
Membiarkannya terbang menuju kematangan
Membiarkannya pergi mencari kebahagiaan

Lalu akan ku tulis puisi lagi
Agar hati ku tenang
Agar kau tetap di ingatan
Kerana sungguh ...
Aku ingin kau ada
Walau tidak nyata ada di depan mata.
Kenapa engkau seperti angin
tak terlihat namun terasa,
dan aku benci itu.





Monday 23 February 2015

~ WAHAI ORANG-ORANG YANG BERSABAR…~


























“Ya Allah, ya Tuhanku! Janganlah Kau uji hambaMu yang lemah ini dengan ujian yang berat sehingga tidak mampu untukku memikulnya... 

Ya Rabbi, tolonglah hambaMu ini menjadi seorang yang kuat, sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan hidup.

Ya Allah! Kuatkanlah hati hambaMu ini, hanya kepadaMu ku abdikan diri dan hanya kepadaMu jua ku memohon pertolongan…”


Dihentam Badai

Mungkin di saat ini, di saat orang yang membaca artikel ini sedang berada dalam samudera kesedihan dan kedukaan. Hentaman badai angin taufan ujian terus menimpa dan melanda hebat, membuatkan diri seakan bergoyang.Terasa hati tidak mampu lagi bertahan. Dugaan demi dugaan yang datang seakan menggugat rasa kekuatan iman. Buntu. Keliru. Semua perasaan sedih dan duka menjadi satu. Membuatkan dunia terasa seakan-akan berputar. Gelap.

Namun….Dalam keadaan yang sedemikian, jauh di sudut hati kecil itu masih sempat merintih. Masih ingin menagih. Tidak tersedar air mata jatuh bercucuran…Dalam keadaan itu kita terasa lelah, telah hilang segala semangat, harapan dan impian maka perlahan-lahan hati kecil itu menyeru asma agungNYA...

"Allahuakbar…Allah Maha Besar…betapa kerdilnya diri ini, diuji sedikit sudah mula mengaduh dan mengalah…"

"Subhanallah…Maha Suci Allah…betapa Engkau ingin menguji tahap kesabaran, rasa ketulusan dan keikhlasan hambaMu ini, apakah masih menyakini biarpun rasa pedih memenuhi segenap ruang hati…"


Sesungguhnya tika ini, tiada yang dapat kita rasai kecuali rasa PASRAH kepada Ilahi. Di saat ini jualah, hati kita terusik dengan rasa penyerahan diri sepenuhnya kepada kuasa yang Maha Agung.
Semuanya tertumpu kepada DIA…

Muhasabahkan Diri

Duduklah sejenak, sambil renungi dan muhasabahkan diri.Mungkin iman kita di saat ini ibarat sebuah handphone yang terlalu ‘low’ baterinya. Tetapi, kita masih punya masa untuk mengecasnya kembali.
‘Caj lah’ iman dengan perlahan-lahan bibir mengalunkan kalimah zikrullah. Itulah ubat hati yang paling mujarab tika ini…

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah jualah hati akan merasa tenang dan tenteram” (Ar-Ra’du:28)

Sememangnya, kita cuma sang hamba. DIA berhak menguji dan memberi ujian selayaknya status kita sebagai hamba.Menyedari diri kita teramat lemah, maka carilah kekuatan itu kembali dengan mendekatkan diri kepada Sang Agung, Maha Berkuasa dan Maha Besar serta Maha Mengetahui segala kedukaan dan lara yang kita rasai saat ini.Renungi dan hayati di dalam kalamNya yang bemaksud:

“Maka bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah itu benar, dan mohonlah ampun untuk dosamu dan bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi” (Ghafir:55)

“Bersabarlah. Dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah.” (An-Nahl: 127)

Didikan Sabar Melalui Mehnah Ujian

Sifat sabar sememangnya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, ia tidak mencukupi hanya dengan membaca buku dan menatap kitab tentang sabar semata-mata tetapi sabar itu hanya dapat dididik dengan mehnah ujian yang DIA berikan kepada kita.

Apakah sama kita membaca dan mendengar kisah hidup orang lain yang ditimpa pelbagai musibah dan bencana dan kita kata bahawa jika kita duduk di tempatnya kita boleh bersabar sepertinya??
Tidak mungkin dan tidak mampu untuk kita berkata sedemikian melainkan kita sendiri yang apabila ditimpakan ujian tersebut, diri kita yang akan mempraktikkan sifat sabar itu.Dan sejauh mana kesabaran kita itu, hanya hati kita jualah yang mendidiknya.Apakah kita ingin berlapang dada menerima setiap dugaanNya atau semakin menyempitkan dada? Apakah kita ingin memerhati dan merenungi hikmah di sebalik ujianNya ataupun hanya ingin merintih-rintih dan mengaduh atas derita tersebut?Semuanya terpulang pada diri sendiri.

Hakikat sabar sememangnya sukar untuk diabadikan di dalam diri kecuali hanya orang-orang yang beriman, teguh dan menyakini setiap apa yang terjadi sesungguhnya semua itu datang dari Ilahi, yang ingin menguji tahap keimanan dan keikhlasan kita padaNya.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Tiada seorang Muslim pun yang tertimpa musibah lalu dia berkata sesuai dengan petunjuk yang diperintahkan oleh Allah, ‘Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami kembali. Ya Allah, berikanlah aku pahala dalam musibahku dan gantilah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya’ melainkan Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik daripada musibahnya itu.”

(Riwayat Muslim dalam kitab Sohihnya dan bersumberkan dari Ummu Salamah r.a.)

Subhanallah.! Bukankah bersabar itu lebih baik, lebih cantik dan lebih indah sekali kerana di dalamnya terkandung penyerahan diri yang begitu tinggi kepada Ilahi.Betapa kita akur, alah dan pasrah di atas apa yang diberikan kerana hakikat diri kita cuma hamba Ilahi, yang senantiasa layak untuk diuji dan diuji…

Rahmat Di Sebalik Ujian

Firman Allah Ta’ala di dalam Al--Quran menerangkan maksud ayat:35 Surah Fussilat:

“Dan sifat-sifat yang baik itu tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar”

Seringkali kita melihat sesuatu kesusahan, kedukaan dan keperitan yang Allah berikan dengan pandangan mata zahir bahawa semua yang diberikan itu hanyalah keburukan semata-mata.Namun, jika kita melihat dengan pandangan mata hati bagi orang-orang yang bersabar dan menyakini, tiap perkara yang buruk itu sebenarnya mempunyai hikmah tersendiri dari Ilahi.Jangan dipersoalkan dan ditanya kenapa semua ini harus terjadi? Tetapi lihat, renungi dan hayatilah semua hikmah di sebalik ujian yang diberikan oleh Ilahi.Sesungguhnya tidaklah Allah menciptakan sesuatu takdiran sia-sia melainkan semuanya tersimpan rahmat yang tersembunyi di sebalik cahaya.Sepertimana yang diterangkan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batasan” (az-zumar:10)

 “Apa yang ada di sisimu akan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang bersabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (An-Nahl:96)

Berpeganglah kepadaNya dengan seluruh jiwa dan raga. Setiap yang terjadi pasti ada rahmat yang tersembunyi. Sesungguhnya Allah amat kasih dan cinta kepada orang-orang yang bersabar serta tidak putus asa dengan rahmatNya.KalamNya menyebut yang bereerti:

“Sesungguhnya, Allah beserta orang-orang yang sabar” (al-anfal:46)

“Allah menyukai (mengasihi) orang-orang yang bersabar” (al-imran:146)

Maka, tidakkah kita ingin termasuk di kalangan mereka.??Tanya iman, didiklah hati…peganglah 'kunci bahagia!'

Kunci kebahagiaan seorang mukmin;

“Syukur apabila mendapat nikmat, Sabar apabila ditimpa musibah”

Akhirul kalam, marilah kita sama-sama mencari dan memegang ‘anak kunci’ ini kemas-kemas, berharap apabila saat kita diuji dan teruji kita tidak akan sesekali lemas dan jatuh ke jurang kelemahan iman dan kesesatan.Semoga dikuatkan hati menghadapi setiap cubaan Ilahi dan bertambah dekat pula dalam menggapai kasih dan redha Rabbi…Amin.!

Harus ada rasa bersyukur di setiap ujian yang datang

Diuji dengan tahap keimanan

Allah rindu mendengarkan rintihanmu berpanjangan

Harus ada rasa bersyukur

Di setiap ujian yang menjelma

Hanya yang terpilih sahaja yang mendapat rahmatNya

Sedang ramai yang dibiarkan dalam kelalaian

Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Segala ujian yang diberi

Maka bersyukurlah selalu….!

saat hati teruji,saat air mata jatuh mengalir tanpa henti, hanya kepadMu jua ku berserah segalaNya...