Monday 16 June 2014

~ Jauhkan Perasaan Ujub Dalam Kehidupan ~





















Ujub ialah PERASAAN kagum atas diri sendiri. Merasa diri HEBAT. Bangga diri. Terpesona dengan kehebatan diri.

Perasaan ujub boleh datang pada bila-bila masa.

Orang yang rajin ibadah merasa kagum dengan ibadahnya.
Orang yang berilmu, kagum dengan ilmunya.
Orang yang cantik, kagum dengan kecantikannya.
Orang yang dermawan, kagum dengan kebaikannya.
Orang yang berdakwah, kagum dengan dakwahnya.

Sufyan at-Tsauri mengatakan ujub adalah perasaaan kagum pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjat.

Muthrif rahimahullah telah berkata, “Kalau aku tidur tanpa tahajud dan bangun dalam keadaan menyesal, adalah lebih baik dari aku bertahajud tetapi berasa kagum dengan amalan tahajud tadi.”

Seorang sahabat Nabi Abu Ubaidah al-Jarrah yang menjadi imam. Setelah selesai beliau berkata, “Syaitan sentiasa menghasut aku supaya merasa aku ini lebih hebat dari orang di belakangku. Aku tidak mahu jadi imam sampai bila-bila.”

Ingatlah, semua kelebihan adalah anugerah dari Allah, oleh itu kagumlah hanya kepada Allah, bukan diri sendiri.

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."(Surah An-Nisaa', sebahagian ayat 36)

Nabi saw. bersabda, "Apabila seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai baju yang kemas dan rambut yang disikat menyebabkan dia rasa kagum dengan pakaian dan dandanan rambutnya (perasan lawa). Lalu Allah tengelamkan dia ke dalam muka bumi dan dia terus ditenggelamkan sampai hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi saw. bersabda, "Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri).”. (HR Al-Bazzar dan Al-Baihaqi)

Imam Nawawi rahimahullah berkata,”ketahuilah bahwa keikhlasan niat terkadang dihalangi oleh penyakit ujub. Sesiapa ujub dengan amalnya sendiri maka akan terhapus amalnya". (Syarh Arba’in)


Ujub ini adalah penyakit yang melanda semua manusia. Kita terdedah dengan ujub pada setiap ketika. Semoga Allah bersihkan hati kita untuk menidakkan sifat ujub ini. Takutnya jika amalan kita yang sedikit ini habis ditelan oleh ujub.

Monday 9 June 2014

~ KASIH SAYANG DAN RAHMAT ALLAH ~
















السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Semoga kita semua didalam Rahmat Allah dan kasih sayangNya.

Manusia dimasukkan ke dalam Neraka kerana keadilan Allah. Tidak ada siapa pun yang dilemparkan ke dalam Neraka kerana terzalim. Mereka yang dilemparkan ke Neraka juga tidak terasa dizalimi. Penghuni Neraka itu sendiri akan merasakan patut dan layak mereka itu dicampakkan ke dalam Neraka dan semua mereka sedar akan punca dan sebab-sebabnya.

Namun demikian, keadaan ini tidak sama dengan Syurga. Hakikatnya adalah tidak adil kalau manusia itu dimasukkan ke Syurga. Tidak ada manusia yang layak untuk ke Syurga. Tidak ada kebaikan atau amalan soleh yang dibuat oleh manusia yang dengannya ia dapat membeli nikmat Syurga. Walau bagaimana banyak dan hebatnya amalan soleh seseorang manusia itu, ia tidak akan dapat menebus walaupun nikmat sebelah mata. Ini belum lagi nikmat-nikmat yang lain. Jauh sekalilah untuk membeli Syurga.

Allah SWT memasukkan manusia ke dalam Syurga hanya kerana kasih sayang dan rahmat-Nya. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Manusia tidak dimasukkan ke dalam Syurga kerana amalannya.” Maka Sahabat bertanya: “Tidakkah juga engkau ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Ya, tidak juga aku. Aku dimasukkan ke Syurga kerana rahmat Allah.”

Kalaulah kasih sayang dan rahmat Allah menjadi sebab kita ke Syurga, maka itulah perkaranya yang patut kita usahakan. Apa pun yang kita buat atau yang kita amalkan mestilah untuk menagih dan mendapat kasih sayang dan rahmat Allah. Dorongan bagi kita untuk beramal dan berjuang mestilah juga untuk mendapat kasih sayang dan rahmat Allah. Dorongan bagi kita untuk menjauhkan maksiat dan kemungkaran mestilah kerana takut tersisih dan terlepas dari kasih sayang dan rahmat Allah dan takut Allah akan murka kepada kita.

Justeru itu, hendaklah kita banyak usahakan perkara-perkara yang boleh mendatangkan rahmat dan kasih sayang Tuhan. Di antaranya ialah:

* Banyak menyebut nama-nama orang soleh. Menyebut-nyebut nama orang-orang soleh itu rahmat.
* Makan bersama orang soleh kerana itu rahmat.
* Menerima tetamu. Kerana datangnya tetamu itu membawa rahmat dan perginya menghapuskan dosa.
* Banyakkan amalan-amalan sunat. Allah ada berfirman dalam sebuah hadis Qudsi: “Hendaklah kamu lakukan sebanyak-banyaknya amalan-amalan yang sunat sehingga Aku jatuh cinta dan sayang kepadamu.”

Di dalam konteks yang sama, beramal untuk mendapatkan sebanyak-banyak pahala dan fadhilat dari ibadah tidak ada erti apa-apa. Pahala dan fadhilat bukan menjadi sebab manusia
dimasukkan ke Syurga. Ia bukan matawang untuk kita beli Syurga. Syurga terlalu mahal untuk dibeli dengan pahala dan fadhilat.

Mereka yang beramal untuk mengumpulkan pahala dan fadhilat demi untuk mendapatkan Syurga seolah-olah telah mengkesampingkan Tuhan. Seolah-olah mereka telah menggantikan peranan Tuhan itu dengan pahala dan fadhilat dan seolah-olah pahala dan fadhilat itu menjadi penentu mereka dapat masuk ke Syurga. Mereka merasakan seolah-olah dengan memiliki banyak pahala itu akan terjamin kasih sayang Tuhan dan terjamin Allah tidak akan murka pada mereka.

Yang lebih berbahaya lagi ialah apabila pahala dan fadhilat menjadi matlamat amalan mereka dan bukan lagi Tuhan. Walaupun mulut mereka berkata: “Sahaja aku solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya kerana Allah”, tetapi hati mereka mentasdikkan untuk mendapat pahala dan fadhilat. Pahala dan fadhilat hanyalah apa yang Allah janjikan di atas amalan soleh yang kita buat dan ia adalah urusan Tuhan. Bukan kerananya kita beramal.

Mereka yang beramal untuk pahala dan fadhilat juga telah terjebak dengan cara dunia dan sekularisma. Kalau di dunia mereka mengumpulkan wang untuk membeli kesenangan maka mereka terbawa-bawa untuk mengumpulkan pahala dan fadhilat guna untuk membeli kesenangan di Akhirat.

Pahala dan fadhilat itu sebenarnya ibarat hadiah dari Tuhan. Adakah patut kita berlumba-lumba untuk mendapat dan mengumpulkan hadiah tetapi tidak mengendahkan dan tidak mempedulikan Tuhan yang memberikan hadiah itu. Apa dan siapa sebenarnya yang harus kita sanjung dan perbesarkan, hadiah atau yang memberi hadiah?

Kalaupun kita dapat mengumpulkan sebanyak-banyak pahala, apalah ertinya kalau kita tidak mendapat kasih sayang dan rahmat Tuhan. Tetapi kalau kita mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan, ertinya kita sebenarnya telah mendapat segala-galanya. Tidak ada apa lagi yang kita perlukan kalau kita sudah mendapat rahmat dan kasih sayang Tuhan.

Dengan kasih sayangNya, Dia menciptakan kita.

Dengan rahmatNya, Dia memberikan rezeki kepada kita.

Dengan rahmatNya, Dia memberikan kesihatan kepada kita.

Dengan rahmatNya, Dia memberikan makan dan minum, pakaian serta tempat tinggal kepada kita.

Dengan rahmatNya, Dia menunjukkan kita kepada Islam dan Iman serta amal soleh.

Dengan rahmatNya, Dia mengajarkan kepada kita apa yang tidak kita ketahui.

Dengan rahmatNya, Dia memalingkan kejahatan musuh-musuh dari diri kita. Allah SWT berfirman, bermaksud, "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.

Dengan rahmatNya, Dia menurunkan hujan dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.

Dengan rahmatNya, Dia memasukkan hamba-hambaNya yang beriman dan yang beramal soleh ke dalam syurga.

Dengan rahmatNya, Dia menyelamatkan mereka dari Neraka.