Tuesday 17 May 2016

~ Menangislah ~

Bismillah..

Assalamualaikum wbt

Menangis adalah suatu terapi syari'e.

Dalam menghadapi kehidupan, begitu banyak dugaan yang perlu diatasi. Dengan iman dan taqwa, kita menjadi manusia yang terselamat. Peningkatan usia seiring dengan perubahan tahap kehidupan kita,mungkin pada suatu masa dahulu kita agak selesa dengan keadaan hidup yang damai dan aman dari sebarang kekacauan. Secara tiba-tiba ujian demi ujian menghimpit, meninggalkan ruang sempit untuk kita bersenang-senang, sehinggakan hati sentiasa gundah memikirkan jalan keluar. Perasaannya adalah umpama saat kita sedang leka bermandi manda dalam suasana air yang tenang namun berombak ganas secara tiba2. Cemas, risau, berdebar, takut datang bercampur baur.

Dugaan tetap akan datang menguji setiap insan yang mengaku beriman kepada Nya. Hikmahnya untuk mengekalkan kita supaya sentiasa mengingati Nya. Bagaimana kita berusaha menepati kehendak syariatnya. Walau terkadang ujian yang tiba benar2 menggugah perasaan hati, membuatkan kita keletihan mencari jalan keluar, mengumbul kekuatan untuk tabah menghadapinya.

dan Menangislah...
merintih keampunan dan pengharapan kepada Nya. Mengadu segala kelemahan yang ada. Memuji dengan takzim atas segala sifat Kebesaran Nya. Merayulah dengan hatimu, berdoalah dengan ikhlas supaya hati damai setelah bermanja dengan Nya. Hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.

Allah merindukan suara kita, yang bermunajat, mendamba untuk bercinta dengan Nya. Siapakah kita tanpa izin kekuatan dari Nya? Hatta mata yang berkelip pun adalah dengan izin Nya. dan hanya kepada-Nya lah sebaik-baik tempat kembali.

~Rintihan Seorang Hamba~


Langkah ku semakin lemah
penglihatanku semakin kabur
Kepala ku terasa semakin berat
Ya Allah,..
berat rasanya azab sakit ini.

Ya Allah..
berikan aku kesempatan
untuk mengenal dan dikenal
untuk mencintai dan dicinta
padaMu, Ya Allah
hanya padaMu, ya Robbi.

Ya Allah, ampunilah daku
kerna terleka dalam buaian dunia
terlalai dari mengingatiMu,
dari mencariMu..

Ya Allah,
suburkan hati ini..
sungguh..dalam kesempatan usiaku
ingin sekali aku mengenalMu
ingin sekali aku makrifat padaMu

Ya Allah...
zahirkan alam barzakh dalam hatiku
wujudkanlah alam akhirat dalam jiwaku
semaikanlah benih syurga dalam impianku.

agar hidup dan penghabisanku
menyembah sujud dalam redha Mu

aammiinnnn...

Saturday 7 May 2016

~ Hinanya nilai seorang hamba~
















Sedar atau tidak, pasti terkadang jiwa insani itu dihimpit naluri untuk bermegah-megah dengan setiap kelebihan yang dimiliki. Tatkala iman mula goyah, taqwa mula merapuh, nafsu merasuk nurani suci, lalu hati tunduk pada bisikan syaitan nan keji. Waktu itu, insani juga bisa terlupa bahawa tiap-tiap satu nikmat yang dikecapinya itu hadir hanya dengan izin Allah s.w.t. Lihatlah, betapa liciknya sang iblis! Sehinggakan, terkadang itu, di dalam jalan dakwah yang mulia ini, mampu terbitnya fitnah yang merugikan. Walhal, amal palsu menampakkan cerminan bahawa kita seolah-olah berada di atas jalan yang benar. Alangkah ruginya jika selama ini segala amal ibadah kita tidak diterima Khaliq! Maha Suci Allah yang tiap-tiap jiwa berada dalam genggamanNya! Kami mohon berlindung daripada melakukan amal yang sia-sia!

Apakah itu amal yang sia-sia? 


Itulah amal yang didasari rasa 'ujub, riak dan takabbur. Bilamana landasan keikhlasan sudah mulai robek, diri lantas mendabik dada! Amal ibadah yang sepatutnya dilaksanakan berteraskan ketaatan kepada Ar-Rahman, mula mengintai pengiktirafan manusia lain. Harapan kepada pujian ramai mula berbunga-bunga. Saat ada pula yang lebih berjaya, hasad dengki mula mengambil tempatnya! Saat ada yang tersungkur, dia bersyukur! Betapa, manusia ini hamba yang hina dina. Waras akalnya tidak bersatu dengan kata hati, lalu pantas sahaja mendabik dada tanpa sedikit pun rasa malu. Betapa, dia hampir sahaja terlupa bahawa setiap denyut nadinya itu berada di bawah pengawalan Tuhan Yang Satu.

Pernahkah kita berfikir, sebaik sahaja usai solat fardhu yang kita lakukan; Adakah solatku ini diterima? Masih wujudkah lagi pandangan kasih Allah kepadaku? - Jika ya, teruskanlah istiqamah dengan pertanyaan-pertanyaan sebegini.

" Seburuk-buruk pencuri ialah orang yang mencuri di dalam solatnya. Para sahabat bertanya, siapakah orang itu? Maka Rasulullah s.a.w menjawab; orang yang tidak sempurna rukuk dan sujudnya" -H.R Ahmad. 

Mengapa penulis mengaitkan soal hina hamba dengan solat? Kerana, solat adalah asas dan merupakan tiang kepada agama seseorang muslim. Malah, amalan pertama yang akan ditanya di akhirat kelak juga merupakan solat fardhu seseorang hamba itu. Jika baik solatnya, maka baiklah seluruh amalannya dan begitulah sebaliknya. Justeru, marilah kita kembali menilai khabar iman dan amal kita. Adakah solat kita mampu mengawal diri daripada melakukan perkara keji dan mungkar seperti apa yang terkandung dalam kalamullah itu? Ikhlaskah kita dalam menunaikan solat, atau hanya atas dasar tidak tahan mendengar leteran ibu ayah? Atau hanya atas alasan amalan ikut-ikutan sahaja? Tanpa sekelumit pun rasa untuk berusaha mengkaji hikmah sebenar solat terhadap diri manusia? Barangkali juga ada di antara kita yang bersolat hanya kerana ingin menunjuk-nunjuk. Maha Suci Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penerima taubat, ampunkanlah dosa kami dan terimalah taubat kami..

Kasih sayang Allah s.w.t meliputi seluruh kerajaan lagit dan bumiNya. Kerana itulah setiap makhluk yang bernyawa mendapat bahagian rezeki mereka masing-masing. Betapa hebatnya rencana Al-Manan dan betapa hinanya nilai seorang hamba! Masakan dengan sedikit tempias nikmat Allah itu dia bisa merasakan diri cukup sempurna? Mengaku diri dengan kemuliaan, mengangkat diri dengan ilmu pengetahuan yang masih cetek pada hakikatnya, memanjangkan mata pada keindahan dunia, dan menghambakan diri kepada nafsu yang menggila, semua ini sifat tercela yang harus dibuang jauh-jauh dengan hanya satu cara. Yakni penyucian nurani hati dengan hiasan sifat tawaddhuk dan semaikanlah rasa jiwa kehambaan kerana sesungguhnya manusia itu tiada daya dalam melawan kekuasaan Allah s.w.t.

Ibnu Umar pernah meriwayatkan sebuah hadis, sabda Rasulullah s.a.w yang mulia;

" Sesungguhnya, hati ini boleh berkarat sebagaimana berkaratnya besi bila terkena air. Baginda ditanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana cara membersihkannya? " Rasulullah menjawab, "Perbanyakkanlah mengingati mati dan membaca Al-Quran"-(H.R Baihaqy) 


Pertolongan yang tidak disangka-sangka 


Tanpa kita ketahui, sebenarnya pertolongan Allah itu sering sahaja berlaku secara tiba-tiba dan tidak disangka-sangka. Bagi yang sentiasa meletakkan diri dalam keindahan tawakkal kepadaNya, saat pertolongan dan bantuan Allah itu lahir, jiwanya sentiasa dirundung rasa keinsafan. Lidahnya tidak henti-henti mengucapkan rasa syukur sehinggakan air matanya turut sama menyatakan rasa terima kasih tidak terhingga kerana masih mendapat pandangan kasih Ar-Rahman. Lantas, amalnya diperhebat kerana dalam diri tersemat indah rasa kehambaan. Keimanannya bahawa dengan mengingati Allah dikala senang, pasti mendapat perhatian Allah di kala susah semakin menebal. Alangkah indahnya saat jiwa berada dalam dakapan iman!

 Bagi jiwa yang sakit, pasti pertolongan yang hadir itu dirasakan dengan berkat usahanya sendiri dengan menafikan bahawa tiap-tiap yang berlaku itu hanya terjadi dengan izin Dia Yang Maha Berkuasa. Inilah realiti kehidupan yang terjadi pada umat baginda rasul, Muhammad s.a.w yang diuji dengan pangkat dan harta kekayaan. Begitu juga dengan konteks pelajar yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Masih wujud sebilangan besar pelajar yang terlupa untuk mensyukuri nikmat kejayaan yang diberikan Tuhan kepada mereka. Mengapa hal ini terjadi, berbalik kepada jawapan yang sama. Kerana lunturnya rasa dan jiwa kehambaan.

Justeru, bagi orang-orang yang beriman, jangan pernah dirisaukan dengan perihal balasan Allah s.w.t kepada mereka. Sesungguhnya karunia Allah sangat luas. Masakan Allah tidak mengetahui penat lelah hamba-hambanYa yang soleh? Sehinggakan dunia dan seluruh isinya tidak layak diberikan sebagai ganjaran kepada mereka. Yang menanti pasti singgahsana nan indah di syurga kelak. Jangan pernah membiarkan penyakit ujub, riak dan takabbur merebak di hati. Juga jangan pernah menyesal andai segala apa yang kita kecapi tidak kita perolehi.

Tiada satu makhluk pun yang bisa menandingi kehebatan dan kekuasaan Allah s.w.t. Pasti, bagi mereka yang terlibat di dalam jalan dakwah ini, persoalan mengenai himpitan-himpitan masalah menebal di benak fikiran. Barangkali pernah juga terlintas " Benarkah apa yang aku lakukan ini? Jika Allah meredhai apa yang aku lakukan, masakan aku diuji sebegini rupa?" Ingatlah, berjuang memang pahit! Kerana syurga itu manis. Masakan, jalanan perjuangan dihampar permaidani merah? Bersyukurlah bagi mereka yang diuji dengan kesusahan sedangkan ujian berupa kesenangan itu sememangnya lebih payah.

Jiwa Hamba 

Semaikanlah jiwa hamba dan hindarkanlah diri dari mendabik dada dengan kemuliaan dan harta benda. Sucikanlah hati dengan memperbanyak amalan zikir dan bacaan Al-Quran kerana Rasulullah s.a.w pernah berpesan kepada kita; di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tarmizi ibnu Abbas;

" Seseorang yang tidak ada sedikitpun Al-Quran di dalam hatinya adalah seperti rumah yang kosong," (H.R Tarmizi) 


Nauzubillahi minzaalik. Bagi mereka yang sedang merawat hati, jangan pernah khuatir dengan persoalan berupa " Mengapa semakin aku cuba merawat hati, semakin aku menemui kebuntuan, semakin aku menyedari kekotoran yang berlumut-lumut?" Inilah tanda bahawa hati itu sedang dirawat.

Demikian jualah yang berlaku kepada tubuh badan kita saat para doktor menjalankan diagnosis. Jasad yang dirasakan sihat rupa-rupanya menghidap pelbagai penyakit-penyakit merbahaya. Oleh itu, nilailah kembali betapa kita ini sebenarnya mampu mengecapi nikmat kehidupan hanya dengan izin Dia Yang Maha Berkuasa. Beristighfarlah dengan ibu segala istighfar andai pernah terdetik di dalam hati rasa 'ujub,riak dan takabbur. Mudah-mudahan redha Allah bersama kita.. Allahumma irhamna bil Quran, Waj'alhu lana imaman wa nuran wa hudan wa rahmah. Allahumma zakkirna minhuma nasina wa 'allimna minhuma jahilna, waj'al hulana hujjatan ya Rabbal'Alamin.. Ya Allah kasihanilah kami dengan Al-Quran, jadikanlah ia imam, cahaya dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami ketika lupa serta bimbinglah kami ketika kami tidak mengetahui serta jadikanlah Al-Quran itu hujjah bagi kami..

**sumber dari: iluvislam.com...by cahayatermasyhur.

~ Jagalah Allah..Allah akan menjagamu~

Dari Ibnu 'Abbas r.a, ia berkata,

"Suatu hari aku pernah (membonceng) di belakang nabi saw, kemudian beliau bersabda, "Nak, aku akan ajarkan kepadamu beberapa kalimat: 'Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu; Jagalah Allah, nescaya kamu akan mendapatiNya di depanmu.   Jika kamu meminta, maka mintalah kepada Allah dan jika kamu memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan kepada Allah.  Ketahuilah bahawa seandainya umat ini berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu, maka mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepadamu kecuali manfaat yang sudah ditetapkan Allah untukmu. Sebaliknya, jika mereka berkumpul untuk memberikan bahaya kepadamu, maka mereka pun tidak sanggup memberi bahaya kepadamu kecuali bahaya yang telah ditetapkan menimpamu. Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.."
[HR tirmidzi, hasan sahih]

Kalimat yang paling saya suka dan sangat bermakna bagi saya dalam hadis ini ialah, "Ihfazillah, Yahfazka" yang bermaksud, "Jagalah Allah, nescaya DIA akan menjagamu". Kalimat yang ringkas tapi sangat bermakma. Inilah kalimat yang Rasulullah ajarkan pada Ibnu Abbas.Maksud 'Jagalah Allah' adalah menjaga batasan2 dan syariatNya dengan cara mengamalkan perintah2Nya dan menjauhi larangan2Nya yang berhubung dengan agama, keluarga, harta dan jiwa. Orang yang tidak menjaga Allah, tidak berhak mendapat penjagaan dari Allah. Siapa yang mengabaikan Allah (mengabaikan agama Allah), akan diabaikan dan tidak dijaga oleh Allah.

Mudah untuk difahami.namun, untuk mengamalnya, sangat susah dan berat. Semakin dunia ini maju, semakin banyak juga penyakit yang menyerang keimanan umat Islam kini. Senjata untuk persiapan menghadapi penyakit ini adalah sentiasa perbaharui dan tingkatkan kualiti ketaqwaan.

Tidak hairanlah ada banyak manusia yang sering mengeluh kesah tentang hidupnya, sedangkan hak Allah masih tidak terjaga, bagaimana Allah mahu menjaga haknya? Contoh terbaik telah ada, rasulullah saw. Tidak ada insan yang paling mencintai dan mengenali Allah melainkan Rasulullah saw. Maka, itulah seharusnya kita. Harus mengenali dan mencintai Allah sebagaimana rasulullah. Sebab apa? sebab Allah selalu memenuhi keperluan dan permohonan rasulullah. Allah melindungi rasulullah ketika susah. Rasulullah dimuliakan Allah dunia mahupun akhirat. Sehingga A'isyah r.a, isteri rasulullah pernah berkata kepada rasul, "Aku tidak melihat Rabb mu melainkan DIA tampak dalam kehendakmu" Maksudnya, kerana setiap apa yang rasulullah doakan dan inginkan terjadi,semua dimakbulkan Allah.

Dekatnya Allah dengan Rasulullah.. Abu Talib, ayah saudara nabi juga pernah berkata, "Wahai anak saudaraku, aku tidak melihat Rabb mu melainkan selalu patuh kepadamu" Dan nabi menjawab, "Dan begitu juga padamu wahai ayah saudaraku, andaikan patuh kepadaNya, DIA pun akan patuh kepadamu" [HR Ibnu hajar]

Pernah Allah berfirman pada nabi Musa a.s, "Wahai Musa, jadilah kamu seperti apa yang Aku kehendaki, nescaya Aku menjadi apa yang kamu kehendaki" Itulah yang dikatakan Mukmin. Orang beriman akan mengutamakan Allah di hadapannya, walau manusia menghina, menjatuhkan atau meminggirnya. Mencintai apa yang dicintai Allah dan yang membawa kepada kecintaan kepada Allah. Begitu juga dalam membenci.

Kesimpulan:
Bagaimana Allah dalam hatimu, begitulah dirimu di sisiNya.Jika kita ingin tahu bagaimana kedudukan kita di sisi Allah, maka lihatlah bagaimana kedudukan Allah dalam hatimu?? Sejauh mana kita mencintaiNya, seberapa besar kita sanggup berkorban untukNya dan sejauh mana kita menyesuaikan hawa nafsu kita dengan apa yang Allah mahu dan kehendaki? Jangan sampai kita mengatakan 'Allahu Akbar' (Allah Maha Besar) setiap kali dan berkali-kali dalam solat kita, namun di dalam hati kita masih ada sesuatu yang lebih besar dariNya dan mengagungkan sesuatu selain Allah sepanjang waktu.

 Al-Husin b. Yazdaniyar pernah menasihatkan, "Janganlah mengharap dekat dengan Allah jika Engkau masih lebih mengutamakan manusia. Janganlah mengharapkan cinta Allah jika Engkau masih suka kemewahan. Janganlah mengharapkan kedudukan dari Allah jika engkau masih suka kedudukan di sisi manusia"

Muhasabah bersama:
Tidak mahukah kita diberi perlindungan dan dihindari azabNya di dunia mahupun di akhirat? Maka, Jagalah Allah ..Bila selalu ingat dan ikut, DIA juga akan selalu. Bila sekali-kali, Allah juga sekali-kali. You choose. Wallahua'lam

~ Tidak ku tahu percaturanMu ~

Tidak ku tahu percaturanMu
bagaimana keadaanku bertemuMu
berpeluangkah aku di sisiMu
ku mohon padaMu
pandangilah aku
dengan pandangan kasih sayangMu

Tidak ku tahu percaturanMu
perjalananku di dunia
di hampari suka dan duka
semua lakaran tarbiyah dariMu
hikmah di sebaliknya menyedarkanku
agungnya kebesaranMu

Tidak ku tahu percaturanMu
memberi tanpa henti kepada hambaMu
namun hanya sedikit yg syukur padaMu
adakah aku juga pilihanMu
untuk menerima belaian kasihMu
Ar Rahman dan Ar Rahim sifatMu
itulah keyakinanku
yg sentiasa menagih cintaMu

Tidak ku tahu percaturanMu
bagaimana pengakhiranku
adakah syahid demi kematianku??
itulah yg sentiasa menghantuiku
sedikit amalanku belum tentu di terimaMu
laailahaillallah..mohon terlafaz di bibirku
saat tiba kematianku

Tidak ku tahu percaturanMu
terimalah taubatku ya Allah
biuskanlah rasa kehambaan
yg mendalam dlm jiwaku
menagih simpati

ku menanti airmata keinsafan
tidak pernah mengalir di mataku
titisan yg akan menggugurkan dosa2ku

Tidak ku tahu percaturanMu......