Tuesday 19 December 2017

~ So Sweet Masyitah -part I ~

SO SWEET...MARSYITAH

Ya Allah letihnya! Hariz Arifi membentak di dalam hati. Tali leher yang sudah dilonggarkan, ditarik. Kunci kereta dicabut dari tempatnya. Briefcase diambil dari tempat duduk belakang sebelum dia membuka pintu dan keluar dari Camrynya.

Kerja yang banyak di universiti tadi membuatkan kepalanya macam sedikit berpinar. Perlahan-lahan dia menarik nafas menghirup udara segar halaman rumahnya yang menghijau. Sebelah tangan yang tidak memegang beg dilarikan ke belakang leher, mengurut-ngurut perlahan.

“Ish,ish. Kenapa gaya macam tak makan setahun sahaja ni?”

Satu suara lembut menyapa gegendang. Pantas Hariz menoleh ke arah pintu rumah. Matanya terus terpaku di situ.

Seorang perempuan bercermin mata, bertudung labuh, bersama baju lengan panjang yang labuh dan seluar riadhah. Nampak sederhana

Mungkin sahaja orang lain akan menyatakan bahawa perempuan ini biasa sahaja, tiada yang istimewa. Tetapi untuk Hariz Arifi, wanita di hadapannya kini adalah satu-satunya bidadari yang wujud di atas dunia yang fana ini.

Tanpa sedar, kakinya melangkah ke arah perempuan itu. Wanita itu sedikit terkejut melihat Hariz Arifi yang semakin mendekat dengannya. Beberapa langkah kemudian, jarak antara Hariz Arifi dengannya sudah tinggal sejengkal sahaja. Dia terpaksa mendongak sedikit untuk memandang Hariz Arifi yang lebih tinggi berbandingnya.

“Kenapa?” Perempuan itu bertanya teragak-agak. Kebisuan Hariz Arifi membuatkannya tertanya-tanya.
Hariz Arifi meletakkan beg di tangan. Kemudian memandang sekali lagi perempuan itu sedalam-dalam.

Perempuan itu mengangkat kening. Ada apa-apa yang tidak kenakah? Hati bertanya.

Tiba-tiba Hariz Arifi menggores senyum. Terus dipeluk perempuan itu seerat-eratnya.

“Tata, rindunya saya pada awak!” Sambil menggoyangkan tubuh perempuan itu sedikit ke kiri dan ke kanan.

“Apa buat gaya seribu tahun tak jumpa ni? Terhantuk stereng kereta? Malulah kalau orang nampak. Kita di hadapan rumah ni.” Perempuan itu terkejut dengan reaksi Hariz Arifi. Spontan kedua belah tangannya bereaksi untuk menolak tubuh Hariz Arifi.

Hariz Arifi perlahan-lahan meleraikan rangkulannya. Senyumannya masih belum hilang. Mata mereka berdua bertemu.

“Tata, bila tengok muka awak, semua kepenatan saya hilang.” Hariz mencubit kedua belah pipi perempuan di hadapannya.

“Yalah tu. Cukup-cukuplah jiwang karat awak tu. Lemas saya.”

Perempuan itu menarik kedua belah tangan yang mencubit pipinya, kemudian menunduk mengambil beg Hariz Arifi tadi.

“Lagi satu, sejak bila nama saya jadi Tata ni ha? Ingat Bas Tata MATRI ke?” Dia mencebik sebaik sahaja berdiri tegak semula.

Senyuman Hariz Arifi semakin lebar. “Masyitah, jadi Tata. Itu panggilan manja saya pada awak.”

“Tak naklah. Ada patut Tata.”

Perempuan yang bernama Masyitah itu berpaling dan perlahan-lahan melangkah masuk ke rumah.

“Comel apa Tata. Kiut.”

“Habis tu, awak saya panggil Haha nak tak?” Masyitah memandang Hariz Arifi yang kini berjalan beriringan dengannya ke bilik.

Pecah ketawa Hariz. “Comel jugak tu. Tata dan Haha. Kalau ini status Facebook, saya dah ‘like’ awal-awal.”

“Senget.” Hariz ditolak lembut.

Akhirnya Masyitah juga ketawa.

“Saya tak mahu Tata. Saya nak Masyitah. Harapnya, boleh menjadi Masyitah seperti di zaman Musa.”

Tawa Hariz Arifi terhenti. Bertukar dengan senyuman manis.

“Saya sentiasa doakan awak semoga mampu mencapainya. Tiara Masyitah.”

Masyitah turut tersenyum.
Sampai di hadapan tangga, Masyitah hendak naik tetapi Hariz menuju ke dapur.

“Eh, nak pergi mana? Tak nak naik dulu?”

Langkahan Hariz terhenti. Matanya menyapa wajah Masyitah. Kemudian perlahan-lahan dia menggeleng.

“Puan Masyitah, saya nak pergi memasak. Saya tahulah awak kaki diet. Tapi takkan tak nak makan langsung? Tak benarkan saya ke dapurkah?”

Dan tanpa menunggu jawapan, Hariz Arifi bergerak ke dapur meninggalkan Masyitah dengan senyuman.

Masyitah menggeleng.Baru tadi muka macam orang tak makan seribu tahun.Balik memasak pula? Ini yang aku tak nak dulu. Ishhh…

Akhirnya langkahan dikorak naik ke atas untuk meletakkan beg, tidak menghiraukan desiran di dalam hati. Namun perasaan itu tidak akan hilang begitu sahaja. Semestinya.

Memang namanya Masyitah.Tetapi dia bukanlah sebaik Masyitah di zaman Musa. Hanya berharap untuk menjadi sepertinya sahaja. Belum tahu mampu mencapainya atau tidak.

No comments:

Post a Comment