Friday 14 February 2014

~ REDHALAH, MAKA ALLAH JUGA AKAN REDHA KEPADAMU ~













“Sedihnya... Kenapa Allah tidak memakbulkan jua permintaan kita, padahal hati kita telah tulus berhijrah ke sana semata-mata untuk berjihad menuntut ilmu agamaNya..?” Pandangan terasa semakin kelam. Hati semakin merintih-rintih dan bertanya, ‘Kenapa Ya Allah…?? Tidak bisa mengabulkan permintaan ini??’



Luahan Hati

Ini antara luahan hati ini.Setiap orang mempunyai impian mereka yang tersendiri. Ada pelajar yang telah belajar bersungguh-sungguh, tetapi kenapa keputusan peperiksaannya masih juga tidak cemerlang? Ada orang yang bercita-cita ingin menjadi doktor misalnya tetapi kenapa akhirnya menjadi ustaz? Ada orang yang telah lama menyimpan harapan untuk berkahwin dengan si dia, tetapi kenapa akhir jodohnya Allah datangkan orang yang tidak seperti kehendak di hati?

Perasaan Yang Sama

Saya yakin dan percaya semua orang pernah merasakan perasaan yang sama. Perasaan sedih.  Kecewa. Berduka. Sebuah perasaan yang tidak dapat  diungkapkan dengan kata-kata apabila kita tidak dapat menggapai sesuatu yang selama ini kita impi-impikan. Setelah berhempas pulas kita berusaha namun Allah tidak mengizinkan jua. Sebuah harapan yang mekar tersimpan di dalam hati, namun di saat akhirnya hancur. Lebur. Semangat juga seakan-akan hilang ditiup angin putus asa.

Apakah ia tanda Allah tidak menyayangi? Tidak!
Apakah ia tanda Allah membenci? Tentu sekali tidak!
Apakah Allah tidak mengendahkan doa-doa kita panjatkan? Mustahil!

Lantas, kenapa Allah masih tidak ingin memberi apa kita mahukan itu??Apa Sebabnya?

Inilah jawapannya. Allah s.w.t berfirman kepada sang hamba:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Subhanallah! Ringkas jawapanNya, hanyalah 1 ayat. Tetapi sangat mendalam maknanya untuk kita renungi dan hayati.Indahnya kalam Tuhan. Hati semakin terpujuk. Jiwa yang rawan semakin tenang...Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mendengar

Duhai teman

Bukan kita tidak berusaha. Berhempas pulas sedaya upaya untuk mencapai apa yang kita idam-idamkan. Bukan pula kita tidak berdoa, siang malam kita menadahkan tangan dan Allah sememangnya Maha Mendengar permintaan hati kita. Bukan jua niat kita tidak murni, telah tulus suci kita matlamatkan harapan dan impian itu semata-mata keranaNya.

Bukan DIA tidak tahu betapa mengharapnya kita agar impian kita terlaksana. Bukan DIA tidak tahu mengalirnya air mata sedih dan kecewa di saat kita tidak dapat meraih apa yang kita mahukan. Bukan DIA tidak tahu pedihnya hati dan jiwa kita untuk menerima hakikat itu. Dan Maha Suci Allah jauh sekali dari sifat zalim terhadap hamba-hambaNya.

Itu Yang TerbaikHakikat yang pasti;

‘Sesungguhnya, Allah Maha Tahu apa yang TERBAIK untuk hamba-hambaNya.’

Jika kita merasakan hal yang kita inginkan itu sememangnya sudah baik dan bagus untuk kita, tetapi ALLAH LEBIH TAHU batasan ‘baik’ dan ‘bagus’ itu sekadar mana untuk diri kita. Jika kita merasakan perkara itulah yang terbaik untuk kita, tetapi ALLAH LEBIH TAHU kadar had ‘terbaik’ itu untuk diri kita.

Sesungguhnya pengetahuan kita sebagai hamba cukup terbatas kerana dimensi pengetahuan tersebut hanyalah secara zahir yang kita boleh nampak, tetapi kuasa Agung Pengetahuan-Nya meliputi langit dan bumi, yang zahir mahupun tersembunyi.Justeru itu, berhentilah berduka, berhentilah merasa kecewa sedang ALLAH telah merencanakan untuk setiap hambaNya ‘TAKDIR YANG JAUH LEBIH BAIK DARI YANG KITA SANGKAKAN.’

Terimalah hakikat tersebut walaupun pahit untuk ditelan dengan hati yang terbuka. Lapangkan dada dan jiwa kita. Tiada gunanya terus-terusan kita meratapi perkara itu, ianya akan membuatkan kita semakin rasa terhimpit dengan asakan emosi dan perasaan  yang semakin menyesakkan dada. Pemikiran kita juga akan menjadi sempit, jiwa akan terus berkeluh kesah, bimbangilah jika ia berterusan, kemungkinan besar akan merosakkan iman kita tanpa disedari.

“Allah memberi apa yang kita PERLU, bukan memberi apa yang kita MAHU”

Bimbinglah Hati Melihat Hikmah Ilahi

Duduk dan bertenanglah. Jernihkan fikiran dengan zikrullah. Renung dan muhasabahkan diri. Jangan terlalu difikirkan sebab mengapa kita tidak memperolehnya, tetapi fikirkanlah HIKMAH yang Allah sembunyikan dari kita. Mungkin tika ini kita sememangnya ‘buta’ untuk melihat hikmah tersebut, tetapi yakinlah suatu saat Allah akan ungkapkan jua hikmah itu kepada kita. Mungkin suatu hari nanti kita akan bersyukur pula kerana tidak mendapat apa yang kita mahukan itu tetapi Allah telah menggantikan ia dengan yang lain, yang jauh lebih baik dari yang kita sangkakan.

Akhir Kalam, Yakinlah!

Keyakinan pada Allah harus mantap, jangan sesekali goyah berpegang denganNya. Sesungguhnya Allah menguji kesabaran diri. Allah juga menguji keyakinan dan keteguhan iman di hati. Teruslah menyakini tanpa ragu-ragu, nescaya Allah pasti tidak akan mensia-siakan diri kita malah akan semakin meneguhkan kedudukan kita sebagai hambaNya yang soleh. Dengan rasa pasrah menerima takdiran dariNya, percayalah Dia akan memberi cahaya kebahagiaan, disirami dengan rasa ketenangan di dalam jiwa, yang tidak mungkin kita miliki kecuali dengan curahan kasih sayang dari Ilahi di atas sifat redha kita terhadap-Nya...

 “REDHALAH DENGAN KETETAPAN DARI ILAHI, MAKA DIA JUGA AKAN REDHA KEPADAMU...!”

 Hujah dalam artikel ini bukan beerti kita tidak perlu berusaha menggapai impian dengan beralasan takdir Allah lebih baik dari yang kita rancangkan, jangan disalah-fahamkan pemikiran anda. Tetapi penjelasan penulis adalah ingin menerangkan kenapa dan mengapa kita tidak memperoleh apa yang telah kita usahakan itu. Semoga sama-sama kita membuka minda merenungi hikmah yang terselindung dan memujuk hati dalam menerima segala takdiran dari Ilahi…!

No comments:

Post a Comment