Dia terbangun di tengah malam. Gegendang telinganya bergetar mengejutkan tubuh. Biasanya dia tidur nyenyak sahaja kerana setiap malam dia akan keletihan studi. Tetapi semenjak graduasi, dia sudah tidak ada apa yang hendak dikejarkan. Dia sudah tidak perlu studi teruk-teruk seperti dahulu. Mungkin sebab itu lenanya juga senang terjaga. Dia sudah tidur awal.
Matanya memandang ke sudut bilik. Satu lembaga sedang duduk bersimpuh ditemani cahaya oren dari lampu tidur.
Hariz Arifi.
“Rajin betul suami aku ni.” Gumamnya. Malu sendiri. Hariz Arifi hanya mengejutkannya pada malam Jumaat. Tetapi dia tahu yang suaminya itu hampir setiap malam akan bangun melaksanakan qiamullail jika tiada keuzuran.
“Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Ya Allah, rahmatilah Masyitah.”
Eh? Masyitah? Nama aku. Perlahan-lahan dia bangun dari pembaringan. Ingin mendengar dengan lebih jelas. Dia dapat melihat Hariz Arifi bersama kedua belah tangan yang terangkat.
“Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Sesungguhnya aku amat mencintainya. Kau telah hadirkan dia sebagai penghidup jiwaku. Acapkali aku melihatnya, dia menumbuhkan kebahagiaan dalam hatiku. Maka ya Allah, rahmatilah dia.”
Tiba-tiba hati rasa sebak. Ayat-ayat yang terlantun menghentak gegendang telinganya agar bergetar itu, seakan tembus mendodoi jiwanya juga.
“Ya Allah, jadikanlah Masyitah itu wanita yang Kau redhai dan jagalah dia. Permudahkan segala urusannya. Golongkanlah dia dalam golongan orang yang berjaya, cemerlang dalam segala halnya, khususnya dalam ketaatan kepadaMu dan dalam perjalanannya menuntut ilmu.”
Aku pernah mendoakan dia tak? Tiba-tiba Masyitah mempersoalkan dirinya. Jangan kata doakan dia, doa untuk diri sendiri sungguh-sungguh pun sekali sekala sahaja. Ish…
Tiba-tiba mata rasa berkaca.
“Ya Allah, masukkanlah Masyitah itu dari kalangan ahli syurgaMu, redhailah dia Ya Allah, terimalah dia Ya Allah. Jadikanlah dia seorang yang beriman dan solehah. Lindungilah dia dari kejahatan dan kemungkaran.”
Air mata mengalir.
“Sesungguhnya aku amat mencintainya ya Allah. Maka cintailah dia. Sebagaimana Kau hidupkan jiwaku apabila melihatnya, maka hidupkanlah jiwanya untuk mencintaiMu dan menjadi hambaMu yang baik.”
Perlahan-lahan Masyitah baring dan berpaling mengiring dari arah Hariz Arifi.
“Amiin.”
Tangannya menggenggam selimut. Mulut mengungkap “Amin,” bersama air mata yang mengalir.
Ya Allah, rahmatilah suami aku.
Dan jadikanlah aku ini orang yang mampu menyenangkannya.
*****
“Kenapa ya tiba-tiba hendak bawa saya bercuti?” Soalan itu hadir diiringi dengan bunyi ombak memukul pantai.
“Tak boleh?” Burung camar menghiasi suasana.
“Boleh. Saya suka.” Mentari senja menambah keindahan.
“Ha, ingat sayang saya ini tak suka. Boleh saya tempah tiket balik hari ini juga.” Keadaan pantai yang sudah mula sedikit dengan orang ramai membuatkan mereka berdua dapat duduk-duduk dengan tenang.
“Tak naklah. Lawa sini. Pantai dia sangatlah cantik.”
“Awak cantik lagi.”
Diam.
Hariz memandang sebelahnya. Masyitah tunduk menekur pasir pantai.
“Kenapa diam? Ingat nak bangga-banga. Orang puji.”
“Speechless. Awak selalu puji saya itu ini. Lebih-lebihkan saya itu ini. Saya tak pandai nak main ‘jiwang-jiwang’ macam awak. Saya takut nanti lama-lama awak bosan dengan saya.”
“Haha. Bosan dengan awak? Habis, saya nak hidup macam mana kalau saya bosan dengan awak? Saya pun tak dapat bayang. Mustahil terjadi insyaAllah.” Sungguh-sungguh Hariz berbicara.
“Manalah tahukan. Awak takkan tak penat dengan saya?”
“Kan dah cakap tempoh hari? Lagipun, dalam hampir dua tahun ini, awak tengok saya layan awak, saya hidup dengan awak, ada pernah buat gaya penat selain bila saya balik kerja?”
Tak ada. Tetapi jawapan itu tinggal di kerongkong Masyitah sahaja.
“Awak tanya kenapa bawa awak bercuti kan?”
“Ya.”
“Lawa tak matahari itu?” Hariz memanjangkan tangan, menunjuk ke arah mentari dengan jari telunjuk. Matahari itu hampir terbenam ditelan horizon kerana senja.
“Lawa.”
“Awak adalah matahari saya.”
“Matahari?”
“Matahari adalah sumber tenaga. Matahari juga adalah paksi menjaga keseimbangan sistem solar kita. Matahari petunjuk arah. Awak adalah semua itu. Tanpa awak, saya samalah macam bumi tanpa matahari, gelap dan tidak hidup. Tanpa awak, saya samalah seperti sistem solar kita ini tanpa matahari, tidak seimbang dan bergerak ke arah kehancuran.”
Masyitah tidak mampu berbicara apa-apa. Hawa yang ada kini seakan-akan membuatkan dadanya sebak dan dia rasa seperti ingin menangis.
“Dan untuk jawapan kepada soalan kenapa saya bawa awak bercuti adalah…”
Apa lagi? Hariz Arifi, awak memang pandai buat jiwa saya tunggang terbalik.
“Selamat Hari Lahir.”
Masyitah terpana sebentar. Hari Lahir. Hari ini…
MasyaAllah.
“Haha. Dah agak dah dia lupa. Sibuk sangat studi. Bila dah graduasi, tarikh lahir sendiri pun lupa.” Hariz ketawa sendiri. “Percutian ini adalah hadiah hari lahir dan hadiah graduasi sekali. Boleh ya?”
Tiba-tiba air mata Masyitah menitis.
“Eh, awak, kenapa menangis?”
Segera Masyitah melentokkan kepalanya pada bahu Hariz.
“Kenapa ni?” Hariz menggosok perlahan belakang tubuh Masyitah.
“Terima kasih ya awak?”
Hariz menggelengkan kepala. “Saya yang patut ucap terima kasih sebab awak sudi kahwin dengan saya, berada di sisi saya.”
“Boleh tak bagi saya menang sekali dalam menghargai?” Masyitah yang sudah melekat pada bahu Hariz bersuara.
Hariz ketawa. Air mata meleleh pun boleh buat orang ketawa. Isteri aku ni kiut sungguh.
“Saya janji akan berusaha dengan lebih baik lagi. Biar benar-benar boleh menjadi matahari awak, ibarat Masyitah di zaman Musa, yang teguh terjun ke dalam didihan syurga.”
Hariz tidak menjawab. Hanya leretan senyuman. Matanya kekal memandang matahari yang semakin ditelan horizon. Masyitah damai di bahunya.
Di dalam hati tidak henti mengucap hamdalah.
Kebahagiaan ini, memang tiada bandingannya.
Isterinya memang bukan Masyitah di zaman Musa.
Tetapi dia adalah Tiara Masyitah, bidadari di dalam jiwa.
Yang Allah salurkan daripada Masyitah ini, kekuatan dan kehidupan kepadanya..
No comments:
Post a Comment