Setitik demi setitik.
Air mata itu gugur jua ke pipi.
Tuhanku...
Betapa beratnya ku rasakan
Setiap pengorbanan yang dipersembahkan
Semoga Engkau sudi untuk memandang
Dan mengira setiap butir zarah amalan.
Meski demikian,
Banyaknya kecacatan dan kekurangan
Namun tetap ku berharap sepenuh harapan
Titipkan padaku sejuta keyakinan dan kepercayaan
Sematkan padaku sebuah kekuatan dan ketabahan
Dalam melayari setiap ujian dan dugaan kehidupan..."
Bismillah.
Di saat hati rasa terpuruk, jiwa rasa terjeruk.Di saat diri merasa lelah dengan pelbagai masalah, di saat diri merasa lemah dengan ujian yang tak sudah.Ketahuilah, dan sedarilah. Itu cuma hanya cebisan pengorbanan kita sebagai hamba Allah.Hidup ini sentiasa perlu berkorban. Antara suka atau tidak, antara mahu atau tidak, antara perlu memilih atau tidak.
Begitulah lumrah kehidupan di dunia. Kerana dunia adalah medan ujian. Medan kita menghamburkan seribu satu pengorbanan.Berkorban harta benda. Berkorban tenaga dan masa. Berkorban perasaan dan segala-galanya untuk membahagiakan orang yang tercinta.
Namun, setinggi-tinggi pengorbanan adalah pengorbanan kita pada yang Maha Esa.Kita merasakan, berkorban pelbagai harta, tenaga dan masa untuk orang yang kita cintai itu adalah pengorbanan yang cukup besar kita lakukan.Rupanya, ia terlalu kecil wahai diri. Cebisan tanda cinta kita pada manusia rupanya berada di aras yang terendah.Sedangkan pengorbanan yang paling tinggi adalah berkorban apa jua untuk DIA, Sang Pencipta kita.
Mengorbankan diri untuk jalan juang dan berkhidmat untuk agamaNya, itu lebih utama.
No comments:
Post a Comment