Tenang.
Tidak semua insan dapat merasakan ketenangan yang hakiki.Ketenangan yang bersemi datang bertandang di dalam hati. Menyejukkan sebuah naluri dan perasaan yang gundah dan gelisah.
Betapa setiap hari, hidup kita tidak pernah sunyi dari namanya ‘ujian’. Mustahil sahaja andai ada yang berbicara, ‘Saya tidak punya masalah.!’
Masalah itu akan sentiasa setia menjenguk, mengetuk pintu harian kita. Pasti akan ada, selagi mana kita bernafas di atas bumiNya. Selagi mana kita bergelar hambaNya.Kerana ujian itu mesti, kerana ujian itu perlu. Cuma sahaja, tinggal kita yang mahu menghadapi ujian yang datang itu dengan cara yang bagaimana?
Mahu menangis? Menangislah, ia tidak salah.
Mahu menjerit? Jeritlah, ia tidak salah.
Setiap dari kita punyai cara berbeza dalam berhadapan pada situasi saat diuji. Andai menangis itu bisa menenangkan hati, maka menangislah sepuas hati.Tetapi, berpadalah. Bukan tangisan yang berpanjangan. Bukan tangisan yang semakin melemahkan iman. Bukan tangisan yang akan mematahkan keyakinan kepada Tuhan.Tetapi menangislah dalam sujud kepadaNya.Dalam ratap syahdu memohon maghfirah dan kekuatan dariNya.Dalam doa penuh pengharapan kepadaNya.
Saat diuji, sungguh kita sukar untuk menenangkan sekeping hati.Betapa ia bergocak gelisah, resah dan diri kita terdampar di satu sudut yang cukup lemah.Tidak dinafikan kita terasa kecewa, hampa melilit tangkai sanubari. Tika diuji dan datang pula ujian yang bertimpa-timpa, kita terduduk, kita mengeluh.
Kerana itulah sifat kekurangan yang ada pada setiap hamba. Yang diciptakan tidak sempurna. Yang sempurna itu cuma milik yang Esa.
“Orang yang paling menderita di dunia ini, adalah orang yang hilang ketenangan jiwanya”
Lalu, bagaimana mahu rasa tenang hati?
Bagaimana mahu menenangkan hati yang gundah itu?
Sungguh cukup sukar.Ketenangan itu tak semua orang berjaya memiliki.Ketenangan itu tak semua orang dapat merasai.Kerana ketenangan itu tersembunyi, perlu berusaha mencari.Maka, ingatlah dalam-dalam sebaris kalamNya yang mengusap jiwa,
“Hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan kembali tenang.” (Ar-Rad:28).
Qalbun salim.
Hati yang sejahtera adalah hati yang tenang dalam ingatannya kepada Tuhan.
Hati yang suci itu ada pada kembalinya kita pada Allah.
Ketenangan itu perlu dan disemai dan dibaja. Jika tidak kering kontanglah hati, tanduslah jiwa dari ‘sejuknya rasa kedamaian’.
Subhanallah…allahuakbar…alhamdulilah…
Zikrullah.
Itulah yang paling tepat untuk kita raih ketenangan hakiki.Pada fikir itu perlu disulami dengan zikir.
Pada zikir itu akan mengarahkan pemikiran kita menjadi lebih jernih, lebih tenang dalam merenung dan menghayati hikmah di balik setiap ujian yang datang.Saat diuji, maka cepat-cepatlah kita mencari ubatnya.Meskipun lukanya terlalu parah, meski diri sudah terlalu lemah namun jangan sekali-kali mengalah.
Jangan mengalah dalam meminta. Jangan berputus asa dalam berdoa.
Bukankah ujian itu datang dariNya?Pandanglah ia sebagai satu anugerah yang tiada tara, sebagai satu ‘hadiah’ penghapus dosa.Sebagai satu platform untuk kita meraih cinta dan redhaNya.
Sebagai satu wasilah untuk kita terpilih untuk menjadi salah seorang hamba yang diangkat martabat di sisiNya.
Tidak mahukah kalian?
“Orang beriman selalu punya cara tersendiri untuk menjaga hatinya, meskipun ia berlawanan dengan apa yang dia terima dalam kehidupan.Saat mendapat musibah, air matanya menitis tetapi hatinya terilham untuk menyakini bahawa apa yang Allah berikan padanya pasti yang terbaik untuknya.Fizikalnya mungkin lelah, fikirannya mungkin penat, tetapi tidak dengan hatinya yang terus yakin apabila dia diuji oleh Allah itu tanda bahawa Allah sangat kasih dan sayang padanya…”
Didiklah hati dengan dua kalimah hikmat, “SABAR & SYUKUR”.
Tidak semua orang berhasil menemukan sabar. Kerana sabar itu payah, tetapi sangat indah andai kita berjaya meraihnya.Saat diuji, bersabarlah. Allah SWT mahu memberikan kita pahala yang berganda-ganda di atas kesabaran kita menghadapainya.
Tidak membentak, tidak terus-terus mengeluh, serta yang paling penting tetap istiqamah dalam melakukan ketaatan dan kebaikan, meski saat itu hati kita begitu rapuh dan lemah.
Tetapi kita tidak sekali-kali meninggalkan Allah SWT. Pastinya, DIA akan menyediakan yang terbaik buat kita.Yakini dan percayalah, maka ‘buah ketenangan’ akan kita rasai tatkala hati kita terdidik dengan sifat sabar.
“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)
Juga bersyukur saat dugaan demi dugaan menerjah.
Bagaimana mahu bersyukur?
Ternyata, kebanyakan orang dapat bersabar semasa diduga, tetapi tidak semua mampu untuk bersyukur. Kerana kebanyakan kita hanya bersyukur tika mendapat nikmat semata-mata.Bersyukur tika ujian melanda, maka itulah suatu sifat yang paling agung untuk dididik dalam sekeping hati hamba.
Seorang ulama’ salaf pernah ditanya, “Apakah erti syukur itu?”Dia menjawab,
“Ertinya: bahawa mata bersyukur dengan menangis kerana takut kepada Allah, bukan kerana yang lain.”
Dia masih setia untuk bersyukur, maka itulah bukti seorang hamba yang sangat mencintai Tuhannya kerana dia redha dengan apa yang diberikan oleh kekasih hatinya.
“Dan barangsiapa bersyukur kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah bersyukur untuk dirinya…”(Luqman:12)
Apabila hati berjaya dididik dengan hikmah sabar dan syukur, zikir dan fikir hanya untuk meraih redhaNya, dengan sebenar-benar redha pada setiap ujian yang menimpa maka kita benar-benar akan menjadi insan yang paling tenang dan bahagia.Marilah kita sama-sama cuba untuk terus mengalirkan aliran ketenangan dalam jiwa, agar sentiasa kekal bersemi mendiami di hati kita.Agar kembalinya nanti kita kepadaNya, Allah berbangga dengan kesabaran kita, Allah cinta, Allah redha.
"Hai jiwa yang tenang tenteram (muthmainah)! kembalilah kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai! Masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurgaKu..." (Al-Fajr: 27-30)
Insyaallah. Allahumma amin…
Dengan kemampuan memerangi hawa nafsu dan menyekat syawat,mengatasi segala macam kekurangan dan kerendahan jiwa,maka dapatlah jiwa itu dihantar kepada kebenaran,kebaikan keindahan dan kesempurnaan.Orang yang demikian telah mencapai tingkat kebinjaksanaan dan memperolehi mutiara ketenangan jiwa.Orang itulah yang diundang dan dipersilakan Allah SWT untuk menikmati kebahagian hakiki dan abadi
No comments:
Post a Comment