Monday, 27 January 2014

~ DIALOG ORANG SUDAH MENIGGAL DUNIA ~

Assalamualaikum wbt...

Kaifa imanukum ya ikhwan wal akhawat?

Saya doakan semoga iman kalian semakin meningkat, semakin menyubur, semakin mewangi, semakin kuat, insyaallah dalam rahmat dan jagaan Allah swt.

Tetapi... bagaimana andai iman itu sebaliknya?

Adakah ia semakin melemah, semakin pudar, semakin sirna, semakin kelam dan gelita?

Jika begitu, apa kata kalian singgah sekejap di blog ini?

Mari, ingin saya bercerita satu kisah benar kepada kalian.

Ini kisah yang nyata, bukan cerita yang direka-reka.

Jika kita biasa membaca novel dan buku-buku ilmiah, hari ini mari kita cuba tadabbur bersama sebuah kisah dari kitab Allah yang maha hebat dan agung kalamNya, tidak terbanding dengan kalam cerita manusia.

Semoga iman yang ‘less’ itu dapat ‘dicharge’ kembali selepas meneliti kisah ini, insyaallah...


Tatkala saya sedang asyik menghafaz Surah Al-A’raf, juzuk kelapan, tiba-tiba saya terpana.

Terpegun apabila membaca maksud terjemahannya bermula ayat 35 hinggalah ayat 53.

Nak tahu tak apa kisahnya?

Ia kisah bicara Allah dengan manusia.

Bukan dengan manusia masih hidup tetapi dengan manusia yang sudah meninggal dunia.

Mahu tahu dialognya seperti apa?

Mari, kita hayati kisahnya...

Allah berkata kepada manusia di dalam Surah Al-A’raf bermula ayat:

                                                       ayat [35]

Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa yang bertaqwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

                                                         ayat [36]

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.



Allah bahagikan di sini, ada dua jenis golongan manusia.

Satu, hamba yang bertakwa. Satu lagi, hamba yang derhaka.

Orang yang bertakwa itu sifatnya adalah sentiasa memperbaiki amalannya kepada yang lebih baik, maka mereka ini tidak merasa bimbang dan resah serta jauh pula dari rasa sedih kerana Allah sentiasa menjaga dan melindungi mereka.

Manakala orang yang derhaka, sifatnya adalah menafikan ayat-ayat Allah serta sombong dan angkuh.

Cuba tengok apa pertanyaan malaikat kepada mereka yang derhaka nie?

                                                            ayat [37]

Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka (di dunia) dari apa yang telah tersurat (bagi mereka), hingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang mengambil nyawa mereka, bertanyalah malaikat itu (kepada mereka): “Manakah (makhluk-makhluk dan benda-benda) yang kamu sembah selain Allah?” Mereka menjawab: “Semuanya itu telah hilang lenyap daripada kami”, dan mereka pula menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.

Lalu, apa yang jadi setelah mereka yang derhaka itu sendiri mengakui kesalahan dan pendustaan mereka?

                                                               ayat [38]

Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka”. Allah berfirman: “Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui”.

Tengoklah mereka, saling menyalahkan sesama mereka yang zalim. Padahal sama sahaja balasan bagi ketua yang menyuruh dan pengikut yang mengikuti suruhan ketuanya itu...

                                                                ayat [39]

Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): “(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami”. (Allah berfirman): “Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan”.

Perhatikan siapakah ‘orang-orang yang menerima azab seksa’ di sini yang Allah maksudkan? Macam mana pula jenis seksaan Allah kepada mereka?

                                                                ayat [40]

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.

                                                                ayat [41]

Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).

Allahurabbi ya karim....Sungguh dasyat sekali balasan Allah sediakan bagi mereka yang ingkar padaNya. Semoga bukan kita yang termasuk orang-orang yang zalim itu...
Dan, bagaimana pula keadaan orang-orang yang bertakwa kepada Allah? Apa ganjaran yang Allah berikan pada mereka? Mari tengok dialog Allah yang Maha Penyayang dengan hambanya yang beriman.

                                                                 ayat [42]

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh – (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, – merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.

                                                                ayat [43]

Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.

Subhanallah.! Tidak terperi nikmat yang Allah anugerahkan buat mereka yang bertakwa.
Betapa mereka sangat bersyukur, dan tidak pula menyangka bahawa ganjaran syurga yang terlalu besar Allah sediakan seperti ini buat mereka.Benar sekali ungkapan ahli syurga, jika bukan kerana petunjuk dan hidayah Allah, pastinya manusia tidak akan mampu pun untuk berbuat kebaikan dan kebajikan.
Dan, bukan kerana amal soleh semata-mata menjadi asbab manusia masuk syurga, tetapi kerana rahmat Allah yang Maha Luas buat hambanya yang benar-benar patuh dan tunduk pada perintah Allah.

Sekarang, mari kita susuri pula dialog seterusnya percakapan ahli syurga dengan ahli neraka...

                                                                  ayat [44]

Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata: “Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?”. Mereka menjawab: “Benar ada”. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: “Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim”.

Siapakah yang Allah maksudkan orang-orang yang zalim itu? Perhatikanlah betul-betul, adakah ciri-ciri itu ada pada kita?

                                                                    ayat [45]

Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut jalan Allah, dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang mereka pula tidak percayakan hari akhirat.

Lihatlah dunia akhir zaman ini... Dunia yang penuh dengan fitnah dan kezaliman. Manusia bila tidak beriman dengan Allah, itu sudah satu dosa. Bertambah lagi dosa, apabila mereka turut menghalang manusia yang lain dari kebenaran.

Perhatikan lagi sambungan dialog antara ahli neraka dan ahli syurga ini....

                                                                      ayat [46]

Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok Al-A’raaf (yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok Al-A’raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): “Salaamun Alaikum” (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.

ayat[47]

Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim”.

Betapa kekayaan dan ramainya jumlah pengikut orang-orang yang menderhaka kepada Allah semasa di dunia dahulu, sedikitpun tidak dapat membantu mereka menghindari azab seksaan Allah.


                                                                           ayat [48]

Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A’raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: “Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu tidak dapat menolong kamu”.

Mereka yang zalim ini juga pernah mengejek-ejek orang-orang yang beriman di dunia, dengan itu pada hari pembalasan mereka menjadi orang yang sangat rugi dan hina.


                                                                               ayat [49]

(Mereka bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): “Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): ‘Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita. ‘ ”

Sehinggalah mereka ahli neraka cuba meminta belas ehsan dari ahli syurga, tetapi adakah ehsan itu buat mereka?

                                                                               ayat [50]

Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”. Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”.

Sangat jelas keadaan hinanya orang-orang kafir, betapa mereka meminta-minta daripada ahli syurga tetapi sedikit pun tiada sisa rahmat lagi buat mereka.
Lalu, Allah pula berkata dengan tegasnya kepada mereka, kerana apa mereka diseksa sedemikian rupa?

                                                                                ayat [51]

(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.

Itulah asbabnya.

Mereka orang kafir semasa di dunia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan dan senda gurauan.
Mereka pula hanyut dengan arus kenikmatan hawa nafsu di dunia serta melupakan akhirat.
Sesungguhnya, amat pantas dan amat wajar sekali Allah memberikan balasan sedemikian rupa kepada mereka.

                                                                              ayat [52]

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

Padahal Allah swt telah mendatangkan sebuah petunjuk yang nyata, kitab Al-Quran kepada manusia tetapi sayangnya masih lagi manusia menafikan kebenaran Allah...

Akhirnya, adakah penyesalan mereka berguna lagi di akhirat kelak?

                                                                               ayat [53]

Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Quran itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: “Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?” Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.

Untuk kembali semula ke dunia saat itu, adakah mungkin? Pasti, mustahil sama sekali.Sesungguhnya, tiada lagi ruang dan peluang Allah berikan untuk penyesalan hari akhirat.

Oleh itu, marilah kita semua merenung kembali amalan kita. Apakah amal yang dilakukan benar-benar termasuk kalangan orang yang beriman atau orang yang derhaka padaNya?Tanyakan juga pada diri kita, adakah kita juga serupa dengan mereka yang zalim? Nauzubillah...Jangan sampai kita tertipu dengan tipu daya syaitan laknatullah yang sentiasa ingin menyesatkan anak Adam di dunia.Takutlah kepada hari pembalasan yang maha dasyat bagi orang-orang yang ingkar.Juga bagi orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat, mereka yang tidak beriman kepada perkara yang ghaib serta menolak hukum dan ajaran Allah, maka nantikanlah azabnya sepertimana yang dikisahkan oleh yang Maha Hakim dalam surah ini.

Untuk kesimpulan dari saya yang sangat cetek dan dangkal ilmunya berbanding ilmu Allah yang Maha Luas, semoga kita semua sentiasa termasuk di kalangan orang yang beriman.Semoga, Allah kurniakan petunjuk dan hidayah kepada jalan yang benar.Semoga, kita termasuk di kalangan pengikut alim ulamak yang benar.
Semoga, kita termasuk di kalangan hamba yang sentiasa thabat dan beriman dengan perkara ghaib.
Hingga hujung nyawa, insyaallah

Friday, 24 January 2014

~ JAUH KE SYURGA ~

















Terkaku.
Sebuah jiwa bersimpuh
Merenung dan terus merenung
Di balik sebuah jasad
Menatap sekeping hati
Menilai kembali semua rasa
Yang tersimpul
Ingin dileraikan segalanya…

Pada semua masa lalu
Biarkan ia berlalu
Pada masa hadapan
Ingin berjalan bersama takdir Tuhan
Senantiasa tersusun indah
Indah di hujung waktuNya…

Beruzlah.
Perlu waktu bersendiri
Tanpa ingin sesiapa yang menemani
Kecuali cuma diri dan Ilahi
Yang Maha Mengerti segala rasa yang tersembunyi…

Diri…
Mencari kekuatan dalam kelemahan
Mencari sinar dalam kesamaran
Mencari keyakinan dalam kegundahan
Mencari keikhlasan dalam kedhaifan
Mencari dan terus mencari
Berharap bertemu titik akhirnya di sisi Rabbi…

Jiwa,
Ada apa pada semua duka?
Renungilah, jauh ke syurga

~ KERANA ALLAH MEMANG " SENGAJA" ~






















"Kenapa mereka sengaja berbuat demikian? Kenapa?"

"Kenapa mereka sengaja menyakiti hati ini? Menambahkan segala duka di hati ini?" Rintih sang jiwa yang terluka.

"Mungkin...kerana Allah juga 'sengaja' berbuat demikian."

Si hamba tersentak.

"Allah 'sengaja'? Maksudnya?"

Malaikat di sisi kanan pandang dan tersenyum kepada hamba tersebut.

"Kerana mungkin, Allah memang 'sengaja' memberikan ujian sedemikian kepada kita. Untuk Allah tarbiyahkan lagi hati itu. Untuk Allah jadikan hati kita semakin lembut, untuk semakin dekat kepadaNya."

"Allahurabbi...peritnya, sakitnya, lukanya... Tak mampu ya Allah...!"

Malaikat tersenyum lagi. Memandang hamba tersebut yang penuh dengan cahaya rahmat melimpahinya. Cuma sahaja, hamba tersebut tidak menyedari cahaya rahmat Allah sedang mengelilingi dirinya.

"Allah memang 'sengaja' membuatkan kita rasa sakit. Rasa perit. Rasa pedih. Sebab, Allah tidak pernah sekadar suka-suka atau saja-saja nak bagi kita semua rasa duka itu, melainkan DIA mahu kita selami erti sabar."

Hamba itu tunduk. Cuba untuk mengerti. Dalam-dalam.

"Bukankah sudah Baginda SAW menitipkan sebuah kata-kata pujukan untuk umatnya?"

"Hadis riwayat Abu Said Al-Khudri ra.: Bahawasanya dia pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Tidak ada satu kepedihan pun atau keletihan atau penyakit atau kesedihan sampai perasaan keluh-kesah yang menimpa seorang muslim kecuali akan dihapuskan dengan penderitaannya itu sebahagian dari dosa kesalahannya. (Shahih Muslim No.4670)"

" Ya Allah! anugerahkan daku sifat sabar yang tidak pernah kehabisan. Cantikkan diriku dengan sifat indah Maha Sabar dariMu ya Rabbi..." Air mata merembes laju, kerana terlalu ingin meresapi erti sabar ke dalam jiwa.

Malaikat tersenyum mendengar kalam dua orang hamba itu.

"Sifat sabar, mungkin ramai yang mampu. Tapi, adakah semua manusia mampu bersyukur dalam bersabar?"

Hamba itu terdongak seketika. Cuba menghadam maksud kata-kata tersebut.

"Bersyukur dalam bersabar?"

"Ya. Berapa ramai yang mampu rasa bersyukur untuk segala ujian yang diberikan kepadanya?"
"Bersabar sudah naik satu tingkat, namun bersyukur dalam bersabar satu tingkat yang jauh lebih tinggi martabatnya dari bersabar!"

"Ada orang yang mampu bersabar kehilangan harta benda, mampu bersabar tatkala tak tercapai hajat yang dia ingini, mampu bersabar apabila ditimpa musibah. Tapi, tak semua mampu bersyukur dalam bersabar."

"Cuba perhatikan sepotong ayat cinta ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan bersyukurlah kepada Allah jika kalian benar-benar beribadah hanya kepada-Nya.”( al-Baqarah ; 172)"


"Apa tafsirannya?"

"Maksudnya, jika kita benar-benar mengakui kita adalah hambaNya, maka harus sentiasa bersyukur. Bersyukurlah, tidak kira apa jua yang Allah berikan, baik yang baik, atau baik yang buruk! Kerana hanya dengan bersyukur, maka akan terbit rasa ikhlas yang tulus menjalani hidup sebagai hambaNya."

Seorang hamba yang dididik hatinya untuk redha, maka dia akan melihat ujian dan musibah itu dari satu dimensi lain."

Si hamba itu mengerutkan dahinya lalu bertanya lagi. "Dimensi yang bagaimana?"

"Dimensi bersyukurnya Allah 'sengaja' berikan dia ujian tersebut. Bersyukurnya dia tidak mendapat apa yang dia ingini. Bersyukurnya dia kehilangan harta benda itu. Sebab apa? Sebab dia semakin mengerti bahawa Allah lagi sedang mempersiapkan sesuatu ganjaran yang cukup indah buatnya."

"Ganjaran indah?"

"Apa lagi ganjaran yang terindah bagi seorang mukmin andai bukan Jannah-Nya?"

"Allahurabbi!"

Mata sang hamba itu semakin basah tatkala dibacakan ayat firman-Nya yang bermaksud:

"Mereka itu akan dibalas dengan tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima di dalam syurga itu ucapan selamat di dalamnya." (Al-Furqan : 75)


"Allah memang 'sengaja'

memberikan luka demi luka

Kerana DIA terlalu cinta.

Allah memang 'sengaja'

memberi duka demi duka

kerana DIA ingin kita berbahagia di sana.

Tuhanku!

Saksikan air mata ini.

Biar terus berlagu untukMu.

Untuk setiap duka.

Untuk setiap luka.

Bantu hamba untuk terus berjalan mencari makna bahagia..."



Petikan dari dialog novel " Memiliki Cinta"

~ PUISI RINDU DAN CINTA ~






















Aku dongak langit.
Masih seperti selalu.
Masih setia di situ.

Aku tunduk ke tanah.
Masih seperti selalu.
Sentiasa ada di situ.

Langit.
Untukku selalu pandang kepadaNYA.

Bumi.
Untukku selalu sujud kepadaNYA.

Subhanallah.
Setianya langit dan bumi bertasbih mengagungkan DIA.

Semoga.
Aku juga begitu...



















Monday, 13 January 2014

~ SAPUKAN AIRMATA ITU ~






















Air mata yang menitik.Terus menitik
Semakin lama semakin deras
Semakin lama tersendu-sendu
Hati merasa hampa.Kosong, buntu dan keliru...
Duhai diri, apakah sebenarnya yang dikau tangisi?”

Assalamualaikum wbt....

Buat jiwa yang terluka.Buat hati yang merasa duka.
Buat diri yang merasa kecewa.Buat insan-insan yang terasa sudah berputus asa pada segalanya.
Duhai semua jiwa-jiwa.
Izinkan daku ‘singgah’ seketika di dalam hati kalian.
Ingin ku berbicara mendekat.
Dekat dengan hati-hati yang merasa ‘rapuh’.
Dekat dengan diri yang merasa lemah.
Kerana daku juga sama dengan kalian.
Kerana daku, juga punyai hati sedemikian.
Kerana daku, juga insan lemah seperti kalian.
Kerana daku, juga cuma statusnya hamba Tuhan.
Hamba Tuhan yang seringkali berbuat dosa dan kesilapan…

Tika saat diuji, kalian tahu?

Bahawa dakulah insan yang paling teruk menangis.Teruk.
Tersendu-sendu di hadapanNya, gaya anak kecil yang kehilangan benda berharga.
Mengadu dan merintih-rintih dalam sujud dan doa.

“Ya Allah…peganglah hati hamba erat-erat.

Ibarat seorang ayah memegang erat tangan anaknya.

Jangan sesekali dilepaskan walaupun sekejap cuma.

Kerana ku pasti akan nanar tanpa pegangan dan petunjuk dariMu…

La ilahailla anta, subhanaka inni kuntu mina zalimin

(Tiada Tuhan melainkan Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim).”


Ya. Kerana hanya itu yang mampu ku lakukan.Berdoa tanpa henti.
Kerana saat itu, ku cuma punyai air mata itu.
Terlalu banyak, sampai melimpah-limpah. Seperti empangan yang telah pecah.
Bila menangis, terasa tidak mahu hentinya air mata itu mengalir.
Jika bisa disukat, mungkin sahaja air mata itu sudah sama banyaknya dengan segelen air mineral?
Atau, mungkin lebih lagi dari itu?Entah, ku sendiri tidak pasti.
Yang pasti, Tuhan mengira bukan setiap titis air mata yang jatuh itu?
Pastilah Allah kira.Kita mana mungkin dapat membilangnya.
Saat diuji, kita cuma tahu menangis dan menangis….
Kalian mahu tahu, kenapa Allah mengira setiap butir air mata kita yang jatuh?
Kerana Allah tidak pernah leka.Kerana pengiraan Allah amat-amat halus dan teliti.
Kerana Allah ingin mengira semuanya, apa yang ada pada kita, hatta pada air mata yang setitis itu.
Kerana, air mata juga adalah termasuk sebahagian ‘amal’ kita.
Sedarkah kalian akan hal itu?Adakah ia akan menjadi amal kebaikan atau keburukan?
‘Eh, apa kena mengena air mata dengan amal kita pula?’
Kalian, kalian pun tahu, Allah tidak pernah menciptakan tiap-tiap sesuatu itu dengan sia-sia. Lihatlah kuasa Allah yang Maha Teliti ini..

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).”(al An’am :59)


Begitu juga air mata.Jika ia tumpah kerana ‘benda’ yang sia-sia, alangkah ruginya kita.
Sedangkan Allah mahu kita gunakan air mata itu dengan sebaiknya.Untuk kita raih pahala.

‘Habis, kita tidak bisa menangis jika sedih?’

Bukan. Bukan begitu maksudku.Benar. Siapa yang tidak jatuh air matanya jika dia merasa sedih?
Lebih-lebih lagi kaum hawa, kita orang perempuan mudah sekali untuk menangis kan?
Allah berikan ‘special kes’ buat kita, mudah terusik emosinya dan menangis berbanding dengan orang lelaki.
Sebab ia sudah menjadi fitrah kita bernama manusia, apabila ditimpa musibah, automatik kita pasti akan menangis.Tidak kira musibah dan ujian itu seperti apa, ujian kehilangan orang yang tersayang, ujian kesakitan, kezaliman, ditindas, dihina dan seumpamanya. Pasti manusia yang normal akan keluar juga air mata.

Persoalannya, apa perasaan kita dengan Allah tika itu?

Sekali lagi saya tanyakan pada kalian, saat kalian menangis, apa perasaan kalian dengan Allah tika itu?
Marah? Rasa dizalimi? Rasa tidak adil? Kerana Allah memberikan kalian musibah dan ujian tersebut?
Jika demikian yang kalian rasa saat menangis itu, maka jadilah air mata itu air mata yang sia-sia.
Sedikit pun tidak berguna.

Kenapa?...Kerana kita malah menyalahkan Allah pula, bukan diri sendiri.

“Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri.” (Q.S. An-Nisa. 4: 79)

Oleh itu, sekali lagi tanyakan pada diri sendiri, kitakah yang zalim atau Allah? Sedangkan Allah lagi Maha Bijaksana dalam menilai segala amal perbuatan kita setiap saat.Sedangkan kitalah hamba yang banyak berbuat kesilapan dan dosa, sedang Allah lagi Maha Pengampun terhadap hamba-hambaNya.
Jangan sesekali kita berburuk sangka pada Allah bila diuji, kerana itu hanya akan ‘memudaratkan’ lagi iman kita.Sesungguhnya air mata yang Allah anugerahkan itu, yang kita ‘guna’ ia saat bersedih, adalah untuk kita kembali menginsafi diri.Benar, untuk kita memuhasabahkan diri.
Untuk kita jadikan ia amal kebaikan yang berpahala, bukan sebaliknya.

“DUA belah mata boleh menangis, tetapi hati tetap perlu redha atas ketentuan-Nya.

Demikianlah keadaan orang Mukmin yang bersedih.Tawa dan tangis, gembira dan sengsara, nikmat dan ujian semuanya adalah lumrah kehidupan.Seseorang itu tidak mungkin hanya melalui satu episod dalam kehidupannya, sedih dan menangis untuk selama-lamanya.Semua akan datang dan pergi silih berganti, tiada yang kekal di dunia ini.Orang beriman berada di atas batas pertengahan, tidak berlebih-lebihan mengungkapkan perasaan yang bergejolak di hati.Inilah yang disebut sebagai jiwa hamba yang zuhud.
Apabila mendapat nikmat, tidak terlalu gembira dan jika diserang musibah tidak pula terlalu bersedih.
Semua dikembalikan kepada ketentuan Allah semata-mata.”

(Dr.Juanda Jaya)


Jadikan air Mata kita ‘Special’.
Satu tangisan yang istimewa dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya.
Mahukah kalian tahu tangisan apa tangisan yang ‘special’ itu?
Tangisan ini tidak bersifat melemahkan semangat, bahkan ia boleh menghidupkan jiwa
yang sudah lama mati.Ia tidak mendatangkan rasa putus asa dan kesakitan, bahkan air mata itu ibarat gelombang membangkitkan rasa optimis, kecekalan dan azam bergelora.Tangisan itu membawa satu janji untuk hidup lebih bererti dan ia mampu mencelikkan pandangan mata hati meneroka alam lebih jauh lagi.
Alam ghaib sememangya tidak nampak di mata kasar, tetapi hati yang beriman boleh merasai kebenarannya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Dan seseorang yang berzikir mengingati Allah dalam keadaan sendirian, lalu berlinanganlah air matanya kerana takutkan Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Itulah hati yang lembut, tunduk dan akur kepadaNya.Hati yang merasa takut (khauf) apabila teringatkan hari pembalasan yang amat dasyat, lalu keluarlah air mata kerana hati mengingini keampunan dari Allah swt semata-mata.

“Tidak ada orang yang PALING RUGI di dunia ini, kecuali orang-orang yang telah berputus asa pada Rahmat Allah yang Maha Luas”

Siapapun, pasti tidak mahu jadi orang yang rugi. Semua orang berlumba-lumba mengejar keuntungan, samada untung yang segera di dunia ataupun untung yang berlipat ganda di akhirat.
Ya. Kerana orang yang berputus asa itu, adalah orang yang teramat rugi kerana dia telah mensia-siakan tiap saat dan waktu dalam hidupnya.Hidup ini terlalu singkat untuk ditangisi.
Yang lalu, biarkanlah ia berlalu.Biarkan ia tersimpan dalam lembaran takdirNya.
Jangan terus ditangisi apa yang bukan milik kita. Kerana macam mana pun kita tangisi, ia tetap tidak dapat kita miliki lagi...Ubahlah posisi fikiran kalian.‘Keluarlah’ jauh-jauh dari dunia sedih itu.‘Cuba masuk’ ke dalam dunia orang lain.Lihatlah orang yang berada ‘di bawah’ jauh lebih kurang dari apa yang kita miliki, dengan begitu kita akan menjadi manusia yang bersyukur.
Rasulullah SAW bersabda:

“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Perhatikan orang yang lebih besar ditimpa musibah berbanding dengan diri kita.
Tetapi, dia tetap tenang, senyum dan bersyukur dengan apa yang dia ada.
Tidak mahukah kita jadi seperti itu?
Melihat wajah orang yang tenang, kita juga mahu sepertinya.
Melihat dirinya bahagia, pasti kita juga ingin hidup kita tiada duka.
Cubalah merenung dan berfikir, tetapi jangan merasa khuatir.
Jangan pula banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang.
Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.Hakikatnya takdir Tuhan tidak akan pernah berhenti.
Kerana kita sedang lagi meninti masa menuju pada hari ‘kembali’.
Kita tidak dapat lagi berpatah balik pada hari yang lalu, tetapi kita masih boleh ‘menoleh’ ke belakang itu untuk muhasabahkan diri.

Jadikan ia iktibar dan pengajaran. Jadikan ia sebagai permulaan yang baru untuk kita terus melangkah ke hadapan.Mungkin bukan mudah untuk kita bangun setelah ‘terluka parah’, tetapi ambillah masa sedikit demi sedikit untuk memulakan ‘catatan baru’.Catatan hidup kita yang lebih indah, kita mampu mengindahkannya jika kita benar-benar mahu.

Rasulullah SAW bersabda:

“Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah merasa lemah.

Bila menimpamu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” karena sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim)

Akhir kalamku, kita tidak mungkin dapat ‘menghapuskan’ air mata, kerana air mata itu anugerah terindah. Buat mereka yang ‘disentuh’ hatinya oleh Allah.Akan tetapi, sapukanlah air mata itu untuk dirimu menjadi lebih positif, semakin teguh pegangan denganNya, semakin mendekati yang Maha Dekat serta semakin menjadi mukmin yang hebat dan kuat.Insya allah, kita mampu, kita boleh.! Semoga kasih sayang Allah sentiasa bersama kita hingga hujung nyawa. Amin ya rabb...

Semoga air mata kita,
Adalah air mata yang DIA redha.
Semoga air mata kita,
Adalah air mata yang percaya.

Percaya pada setiap aturannya tersimpan hikmah.
Percaya pada kebesaran dan rahmatNya yang Maha Luas.
Percaya pada suatu saat nanti,
Allah pasti akan menggantikan air mata itu dengan yang terindah

Dengan mahar syurga
Yang abadi di hujung sana
Kerana itulah kemenangan yang nyata
Buat air mata yang tidak jatuh sia-sia
Buat hamba yang bertakwa kepadaNya....



Saturday, 4 January 2014

~ JANJI ALLAH ADALAH PASTI ~

















“ Tiada kata yang dapat dilafazkan dengan kata-kata apabila DIA memberi sesuatu yang kita sendiri tidak pernah menyangka. Tidak pernah terfikir, tidak pernah bermimpi apatah lagi terlintas di hati. Betapa kurniaan-Nya terasa nikmat tidak terperi, maka diri terus sujud mengagungkan kebesaran kuasa Ilahi… Sesungguhnya, janji Allah adalah pasti, buat hati yang terus meyakini tanpa rasa ragu-ragu lagi…!”

Tiada perkataan yang tepat untuk digambarkan perasaan itu, sebuah perasaan rasa bahagia yang tidak
terhingga apabila DIA mencurahkan nikmat kurniaan kepada hamba-hamba pilihan-Nya.Kadang-kadang kita merasakan sesuatu hal itu sangat mustahil untuk kita menggapainya, namun tiba-tiba Allah menjadikan ia kenyataan. Diri terasa di awangan, apakah ia mimpi atau sekadar sebuah khayalan?
Tidak. Ia bukan khayalan lagi, kerana telah terbukti kekuasaan-Nya yang berhak membuat sesuatu yang mustahil kita rasakan itu menjadi sebuah kenyataan.

Firman-Nya menegaskan:

“Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, ‘Jadilah!’ maka jadilah sesuatu itu.” (Yassin:82

Tiap Hal Yang Teruji, Punyai Aturan Yang Tersendiri

Memang tidak dinafikan, berjuang di atas jalan Allah bukan semudah kata pujangga, bukan pula seindah madah bicara.Sememangnya kita cuma hamba biasa.Namun, Allah mengetahui batas kemampuan setiap hamba. Tidak akan diuji hati-hati manusia melainkan tersedia hikmah dan ganjaran dari-Nya, yang acap kali kita tidak menyedarinya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Cuba kita sama-sama renungi...

Tika kita merasa lemah dan hampir berputus asa, tiba-tiba  DIA memberikan ruang cahaya agar kita tidak terus buntu berada dalam kegelapan.Tika diri merasa lelah dalam mengerjakan amal kebaikan dan ibadah, tiba-tiba DIA menggantikan amal itu dengan dihapuskan semua keburukan dan menggantikannya dengan pelbagai nikmat yang kita sendiri tidak dapat menduga.Inilah janji Allah dalam kalam suci-Nya menyebut:

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan melaksanakan urusan (yang dikehendakinya). Sesungguhnya Dia telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaq:2-3)

Allahuakbar…Betapa cantiknya aturan Allah.Barangsiapa yang bertakwa kepada-Nya, pasti tidak akan disia-siakan dan mereka tidak akan dirugikan walau sedikitpun.

Hadiah Buat Orang-orang Mukmin

Nikmat agung kurniaan Ilahi itu sebenarnya hadiah buat orang-orang mukmin.Hadiah buat mereka yang tetap teguh berada di atas jalan Allah, tidak sesekali merasa merasa putus asa mahupun kecewa. Mereka itulah orang-orang yang sentiasa bersungguh-sungguh berjuang dan berjihad di atas jalan-Nya, maka Allah juga akan sentiasa berada di sisi mereka. Firman Allah Taala:

“Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik” (Ar-Rum:69)

Hati Tetap Menyakini

Rasa sabar dan syukur, redha dan pasrah serta tawakal dengan penyerahan hati yang tinggi kepada Allah, itulah sebenarnya kunci kebahagiaan bagi seorang mukmin.Biarpun diasak dengan seribu macam ujian, godaan, kesusahan mahupun keperitan, tetapi hati tetap teguh menyakini dan berpegang pada janji-janji-Nya.Dalam kesempitan, Allah melapangkan. Dalam kesusahan, Allah memberikan kekuatan luar biasa, betapa ajaibnya orang mukmin.Orang-orang yang terus bersabar dan berpegang kepada-Nya pasti akan diberi kemenangan. Dan nikmat yang paling tidak terperi rasanya adalah mendapat kemenangan yang paling agung kelak, iaitu dengan dibalasi nikmat JANNAH yang kekal abadi bahagia selamanya.

Kalam-Nya menyebut:

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, ‘Tuhan kami adalah Allah’, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), ‘Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan kepadamu”  (Fussilat:30)

Subhanallah! Sangat indah janji Sang Khalik. Di dunia lagi DIA telah memberi pelbagai kurniaan kepada manusia, di ‘sana’ pula menanti sebuah nikmat yang tidak terbanding taranya.Betapa pemurahnya Tuhan, tetapi sedikit sekali manusia berfikir akan hal tersebut dan sedikit pula mereka yang bersyukur.

Hikmah Itu Seiringan

Sesungguhnya hikmah itu seiringan dengan setiap ketetapan dan ujian yang diberikan kepada sang hamba.
Cuma, ia terpulang pada diri kita apakah mampu bersabar dan merasa redha (pasrah) dengan ujian yang menimpa?Buat para hati yang tetap istiqamah berjuang di atas jalan Tuhan, tiada rasa khuatir dan tidak pernah berputus asa dengan rahmat Tuhan, mereka itulah orang-orang yang mendapat pertolongan dan petunjuk dari Ilahi.Firman Allah Taala:

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, ‘Tuhan kami adalah Allah,’ kemudian mereka tetap istiqamah, tidak ada rasa khuatir pada mereka dan mereka tidak pula bersedih hati. Mereka itulah para penghuni syurga, kekal di dalamnya sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-Ahqaf:13-14)

Dan mataku kini terbuka

Pada hikmah dugaan

Menguji keimanan 

Tak kan dilontarkan-Nya ujian 

Diluar kekuatan setiap diri insan…

Cepat atau Lambat: Janji Allah Adalah Pasti

Orang-orang yang sentiasa REDHA dan YAKIN di atas setiap ketentuan Allah yang telah ditetapkan, maka sudah pasti DIA juga akan meredhai seluruh hidup kita.Buat mereka yang tulus ikhlas sentiasa berusaha tanpa putus asa dalam pencarian REDHA ILAHI, pasti DIA tidak akan sesekali mensia-siakan melainkan diberi dengan gantian dan balasan yang lebih baik daripada yang kita sangkakan.Biarpun diasak dengan pelbagai mehnah ujian, namun hati tetap bersabar dan bersabar kerana merasa yakin akan janji-janji Ilahi.

Sesungguhnya DIA tidak akan sesekali memungkiri janji.

Cuma, cepat atau lambat terpulang kepada Ilahi dalam DIA menilai tahap kekuatan dan kesabaran setiap hamba-Nya dalam ujian yang diberi.

 Yakinlah Duhai Hati!
Keyakinan datangnya daripada hati.
Sekeping hati tulus yang menyakini,
terus berpegang teguh tanpa rasa ragu-ragu lagi.

Yakinilah duhai hati..
Asalkan kita berada di atas jalan-Nya yang benar,
maka pasti Allah akan meneguhkan kedudukan kita
dan teriring bunga-bunga hikmah dari Ilahi.


Akhir kata, mari sama-sama kita bina sebuah keyakinan yang utuh kepada Ilahi dengan berpegang teguh pada setiap kalam-Nya agar jiwa menjadi semakin tenang, perjuangan yang perit terasa lapang, dan yang paling penting kita dapat meraih redha Tuhan.!

“Ya Allah…betapa agung kuasa-Mu… terasa hilang segala nestapa, terangkat segala beban derita di jiwa…terhapus sudah untaian air mata duka… Dengan keindahan hikmah dugaan dan nikmat kurniaan yang Engkau anugerahkan, tidak akan sesekali disia-siakan.. Tuntuni langkah kaki ini agar tetap utuh dan teguh di atas jalan lurus-Mu…amin”





Thursday, 2 January 2014

~ WANITA,JADILAH SEPERTI POHON SEMALU ~


















Semalam ku melihat pohon semalu
tumbuh liar di belakang rumahku.
Lalu ku sentuh ia "auch, sakit! ada duri rupanya
seraya ku cuba pegang terus daun-daunnya
terkatup, mengucup

lama ku perhati,
selang berapa ketika ia mengembang kembali
seperti asalnya..lalu ku sentuh lagi
sama seperti tadi terkatup lagi…

Sambil merenung ku berfikir…
Alangkah bagusnya jika wanita dapat jadi seperti itu
Seperti pohon semalu?

Oh, tidak!
Mana cantik pohon semalu
Wanita ibarat bunga lah
Bunga-bunga yang indah
Mana cantik jika diibaratkan
Seperti pohon semalu??

Memang, ku akui itu
Cantik atau tidak bukan itu persoalannya
Seperti juga rupa tidak semuanya memiliki paras jelita
Tetapi ukuran cantik itu
Pada kecantikan agamanya
Pada kecantikan jiwanya
Pada kecantikan peribadinya

Oleh itu ku ingin wanita2
Menjadi seperti pohon semalu
Kenapa?
Biar tidak cantik dipandang
Tetapi terlindung oleh duri-duri yang memagari diri

Wanita
Jadilah seperti pohon semalu itu
Tetap teguh menjaga maruah diri
Jika didekati lelaki ajnabi
Masih ada duri yang membenteng diri
Biar diajak dan digoda namun iman masih teguh di dada
Biar mereka berasa terluka itulh benteng perisai hawa nafsu durjana

Wanita
Jadilah seperti pohon semalu itu
Dihiasi indah dengan sifat malu
Tanpa anugerah malu yg Allah berikan
Hilanglah harga dirimu
Tanpa malu
kamu tidak segan-silu bercinta
kamu tidak merasa dating itu berdosa
kamu bangga membuka aurat mempamer dada
kamu tidak malu untuk berbuat apa sahaja
sehingga lahirnya anak zina yg tidak berdosa

Sedangkan wanita yang beriman
Malunya mereka untuk melanggar syariat2Nya
Malunya mereka untuk melampaui batasanNya
Kerana apa?
Kerana malunya mereka kepada Sang Pencipta
Yang senantiasa memerhatikan
Gerak-geri semua makhlukNya

Wanita
Jadilah seperti pohon semalu itu
Bukan seperti bunga hiasan
Yang dipuji dan dipuja orang
Bila bosan dibuang ke longkang
Tetapi seperti semalu
Biar melukut di tepi gantang
Biar tiada mata yang memandang
namun yakinlah
Para Langit menyanjung
Bidadara syurga tersenyum
Kerana keyakinanmu pada Sang Agung
Menjunjung teguh syariat2-Nya
Demi meraih redha-Nya cuma

Oleh itu, kaumku..
Sedarilah…
Engkau insan istimewa
Bahawa kelembutan bukan kelemahan
Tetapi dalam kelembutan ada keindahan
Ada duri yang memagari keselamatan iman
Bahawa kecantikan tiada abadi
Melainkan kecantikan hati nurani
tersimpan rapi di sebalik hijab diri
tersembunyi sekeping hati yang takutkan Ilahi
balasannya adalah syurga yang menanti…

Pintaku,,
Jadilah seperti pohon semalu itu